PETALING JAYA: Demonstrasi Anti Israel akan diteruskan esok di hadapan Kedutaan Amerika yang akan disertai Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Bertempat di Masjid Jamek Kampung Baru perarakan akan diteruskan ke Kedutaan Amerika (AS) selepas solat jumaat.
Dianggarkan lebih 15 ribu penyokong dari seluruh negari dijangka menyertai demonstrasi anjuran Pakatan Rakyat ini.
Menurut Naib Presiden PAS Salahudin Ayub, sebelum demonstrasi satu persidangan meja bulat dibuat di Kelab Sultan Sulaiman esok sebelum menyerahkan memorandum mengecam serangan Israel kepada Kedutaan.
Perbincangan itu mengenai pelan tindakan "Keamanan dan Keadilan untuk Gaza" yang diadakan bersama NGO, tokoh-tokoh masyarakat dan pemimpin politik yang hadir.
"Sebelum kita membuat perarakan persidangan meja bulat akan dibuat bermula pukul 11 pagi esok. Deklarasi ini menuntut beberapa perkara yang akan diputuskan dalam perbincangan esok.
"Antaranya mengenai serangan rejim Zionis ke atas kapal Turki Mavi Marmara yang membawa misi bantuan ke Gaza. Malah kami menggesa agar kerajaan Malaysia lebih proaktif serta berani mengesyorkan tindakan drastik menghentikan sebarang serangan itu kepada Israel," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today hari ini.
Menurutnya lagi, melalui persidangan itu membawa kepada mesej penting bahawa era diplomasi ke atas Israel sudah tamat.
"Melalui kesepakatan PR dalam meja bulat esok kami turut mengesyorkan Malaysia sebagai Pengerusi Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) untuk menggesa negara-negara Islam lain bersama-sama mengenakan sekatan ekonomi serta tindakan ketenteraan terhadap Israel.
"Era diplomasi sudah tamat untuk Israel dan sudah tiba masanya dunia mengenakan tindakan mengajar rejim zionis ini," kata beliau.
Sementara itu ketika ditanya mengenai keengganan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai rundingan meja bulat esok beliau berkata pelbagai sudut perbincangan boleh dilakukan.
"Jika alasan beliau (Najib) untuk membawa perbincangan isu serangan ini ke Parlimen itu adalah satu sudut perbincangan lain. Kita akan buka banyak ruang perbincangan kerana ia membabitkan isu kemanusiaan dan rakyat mahu lihat pemimpin negara duduk semeja berbincang mengenainya," katanya.
Semalam dilaporkan Najib enggan menyertai rundingan meja bagi membincangkan isu serangan tentera Israel ke atas kapal “Mavi Marmara” yang membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Sebaliknya kata Najib, beliau sendiri akan membentangkan usul di Dewan Rakyat pada Isnin ini bagi isu itu dibahaskan.
Keputusan untuk pembentangan usul di Parlimen dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam.
0 comments:
Post a Comment