MAPPIM Anjur Konvoi Ramadhan ke Gaza - Bertemakan "Ramadhan March For Freedom"

AZmiOleh Jamilah Kamarudin

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPPIM) akan menganjurkan misi Konvoi Ramadhan ke Gaza Ogos ini dalam misi bantuan keamanan melalui sempadan Rafah di Mesir.

Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, bertemakan "Ramadhan March For Freedom", tujuan misi ini merupakan lanjutan usaha ‘Freedom Flotilla’ yang dihalang oleh rejim Zionis Israel pada 31 Mei lalu.

"Misi ini adalah inisiatif rakyat Malaysia dan MAPPIM akan menerajui misi ini sebagai satu usaha masyarakat di Malaysia dan dunia untuk membebaskan Gaza sebagai sebuah wilayah Palestin yang berdaulat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, walaupun konvoi ‘Freedom Flotilla’ dihalang Israel, peristiwa itu telah membangkitkan semangat rakyat Malaysia untuk meneruskan usaha menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Walaupun risiko yang akan dihadapi sama berat seperti yang dihadapi oleh misi sebelum ini, namun MAPPIM berpendirian sikap jenayah Israel ini harus dicabar sehingga keadilan dan hak rakyat Palestin di Gaza dapat dikembalikan.

Azmi yang juga Pengarah konvoi ini berkata, kerajaan Mesir telah membuka pintu sempadannya di Rafah namun tidak pasti sama ada Mesir akan terus mengekalkan keputusan itu.

"MAPPIM juga akan melancarkan lobi antarabangsa untuk mendesak Mesir mengubah polisinya bagi penduduk Palestin mendapat akses kepada dunia luar seperti sebelumnya.

"Kita juga bermatlamat dengan pembukaan Rafah di bulan Ramadhan oleh kerajaan Mesir akan memulakan proses kemerdekaan Gaza bagi menamatkan kesengsaraan rakyat Palestin sejak lebih tiga tahun yang lalu," ujarnya lagi.

Sementara itu, wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO), Datuk Mukhriz Mahathir menyambut baik usaha MAPPIM dan akan membentangkan cadangan itu kepada mesyuarat PGPO yang akan datang.

"Kita perlu terus memberi tekanan kepada Israel. Tidak timbul soal melanggar undang-undang Israel kerana kita tidak pernah iktiraf sekatan tersebut yang jelas melanggar undang-undang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya.

Misi ini akan turut membabitkan 300 hingga 500 aktivis keamanan termasuk daripada wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan media.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.