PUTRAJAYA, 23 Jun: Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) hari ini menyerahkan memorandum bantahan berhubung kelulusan lesen judi bolasepak oleh kerajaan Malaysia, kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi.
Serahan tersebut diketuai pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid serta setiausaha, Suhaizan Kayat bersama Naib Setiausaha Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Goh Kean Seng, wakil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor, Ser Choog Eng dan dari Budaywan Bertindak, Lee Ban Chen.
Hadir sama mengiringi delegasi serahan adalah Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan serta beberapa pemuda PAS lain.
Memorandum diserahkan kepada penolong setiausaha Pejabat Perdana Menteri, Husnul Hakim Jamaluddin.
Dalam sidang media selepas itu, Azmi berkata GMJ bukan sahaja membantah judi sukan, malah semua kelulusan lebih 40 jenis judi lain.
Negara, katanya terlalu pemurah sehingga terlalu mudah meluluskan lesen judi.
"Ini adalah desakan rakyat. Kita minta kerajaan pertimbang sungguh-sungguh, tarik balik lesen judi.
"Kempen akan disemarakkan lagi, kita akan anjur forum-forum, ajak mesyarakat jangan takut turun 3 Julai ini untuk bersama kita menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya lagi.
Sementara itu, Nasruddin pula berkata, banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan kerajaan untuk menambah pendapatan negara selain meluluskan lesen judi.
"Banyak lagi usaha lain untuk kaut keuntungan, tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat," katanya.
Pada sidang media sama, GMJ memaklumkan akan ke IPK Kuala Lumpur esok bagi memohon permit untuk himpunan 3 Julai nanti.
Dalam pada itu, wakil KLSCAH, Ser Choon Ing kecewa dengan tuduhan bahawa orang bukan Islam membenarkan judi.
Katanya, persepsi itu salah kerana semua agama dan bangsa menentang judi.
- Harakahdaily
0 comments:
Post a Comment