Disebalik Penganjuran Karnival Kelantan Fiesta 2010: Apa Yang Terjadi...

Sebelumnya pada sebelah siang:
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama dengan EXCO-EXCO dan Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri tidak akan menghadiri majlis perasmian Karnival Kelantan Fiesta 2010 yang akan berlangsung pada malam ini.

Ini kerana, pengurus acara berkenaan, Red Carpet Worldwide, didakwa telah melanggar dan tidak menghormati persetujuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini.

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra yang telah bersetuju untuk berangkat bagi merasmikan fiesta berkenaan sebagaimana yang dipersetujui Baginda menerusi surat bertulis 14 Jun lalu juga tidak akan hadir atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Pengerusi Karnival Kelantan Fiesta 2010, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Kerajaan Negeri telah diketepikan dan tidak dihormati dalam membuat keputusan.




!

Hujan Iringi PM Terbang Awal Oleh Husam Musa

Malam ini asalnya dijangka mencatat sejarah tertentu bagi Kelantan. PM akan sepentas dengan Mursyidul Am PAS yang juga MB Kelantan, menyaksikan perasmian Kelantan Fiesta oleh Baginda Pemangku Raja Kelantan.

Malam ini, sejarah masih tercatat tetapi dengan cara yang sama sekali tidak dijangka.

Bukan sahaja Pemangku Raja tidak berangkat atas apa jua sebab, PM yang dalam rangka lawatan rasmi sehari ke Kelantan dan kemuncaknya akan merasmikan sendiri event Kerajaan Pusat yang dinamakan Kelantan Fiesta itu di Stadium Sultan Muhammad, pulang awal tanpa sempat menjejakkan kaki ke situ.

MB dan Kerajaan Negeri memutuskan tidak bersama, antara lain kerana pertukaran dari 'agenda bersama' kepada 'hanya agenda Pusat'. Poster One Malaysia menunjukkan PM akan merasmikan acara itu tergantung di sana sini.

Kemuncaknya malam ini, hujan ribut 'menyerang' semua persiapan di Stadium bersejarah itu. Hujan bermula sejak 8.30 malam. Sehingga jam sebelas setengah, ia masih turun renyai-renyai selepas turun dengan lebat sebelumnya.

Orang ramai, atas apa jua sebab, samada kerana hujan dan ribut mahu pun hal yang lain, tidak membanjiri stadium itu seperti lazim berlaku pada acara anjuran Tok Guru sebelum ini. Suku stadium pun tak ada. Lengang.

Tentulah memalukan untuk PM datang berucap dalam suasana hiba seperti itu. Ia bukan lagi kemuncak yang ditunggu tetapi kemuncak yang sangat mengharukan.

Tidaklah ganjil untuk PM memutuskan terus menaiki pesawat pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Tinggal-lah anak buah terkial-kial, bagai kucing jatuh ke air. PM perlu dielak atau patut mengelak dari tempias peristiwa upset ini. Biarlah hujan menguasai malam dan sejarah dirakam seperti kehendak Pencipta.

Datuk Mustapa terpaksa memikul akibat dari keputusan politik dangkal mengenepikan Kerajaan Negeri dan tetamu kehormat lainnya di saat akhir, sehingga akhirnya beliau terpaksa berdiri di hadapan padang yang kosong untuk acara perasmian mengantikan PM. Tugas yang berat. Tak semena-mena, bekalan elektrik pula terputus.

Ketentuan Ilahi nampaknya tidak menyebelahi penganjur, walau apa jua motif mereka, tersurat atau tersirat.

Saya membuat catatan ini sebagai mengingati besarnya kuasa Ilahi dan eratnya Kelantan dijaga oleh Pengawal langit dan bumi.

Di padang yang mulia kerana telah menyaksikan ratusan ribu manusia telah sujud di atasnya dan tidak kurang pula titisan air mata yang tumpah ketika heningnya hubungan para hamba dengan Sang Pencipta di situ dalam siri-siri solat hajat yang telah berjalan berbelas kali, nyata menunjukkan keramatnya.

Termasuk solat hajat royalti minyak. Solat hajat untuk ummat Palestin. Solat hajat untuk memenangkan perjuangan rakyat.

Nampaknya, padang itu tidak mudah melupakan pihak yang menganiayai rakyat Kelantan tetapi mahu berpesta di atasnya.

Mengenepikan tuan rumah - tentulah bukan langkah bijak. Apa lagi, PM semata-mata bukanlah tarikan besar bagi orang Kelantan untuk memenuhi stadium sebesar itu. Usahkan stadium, dewan biasa pun belum tentu penuh.

Lantaran itulah, langkah awal penganjur ialah berpijak atas kerjasama dengan Kerajaan Negeri. Bermakna bekerjasama dengan populariti Tok Guru. Dari sana, penetrasi boleh bermula.

Entah apa gerangan dan perhitungan, di saat akhir mereka ingin bersendiri. Sesetengah berkata, 'UMNO tetap UMNO...'.

Ada peluang, mereka mencengkam. Taring UMNO mereka sentiasa tersedia.

1 comments:

  1. Orang kelantan bukan macam orang negeri lain. tahniah kepada orang kelantan yang sentiasa bersatu hati didalam membuat sesuatu keputusan. kata orang tua-tua KALAU MAI RUMAH ORANG BAGI LAH SALAM, INI TIDAK DENGAN APA YANG BERLAKU MAI RUMAH ORANG BERLAGAK MACAM ORANG SAMSENG. inilah akibatnya. sepatutnya melayu umno kelantan kena sedar, depa semua ditipu pemimpin depa yang tamak kuasa.itulah sebabnya jangan dok hina tok guru, janganlah dok anggap tok guru tu tak tau apa. INILAH YANG BERLAKU KEPADA PEMIMPIN UMNO YANG BODOH SOMBONG.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.