KOTA BHARU, 20 Mei: Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah di sini membenarkan isteri kedua sultan Kelantan, Cik Puan Elia Suhana Ahmad, 31 melawat suaminya, Tuanku Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra.
Panel tiga hakim diketua Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Mohamad membenarkan lawatan itu setelah mengadakan semakan terhadap afidavit pihak Elia Suhana dan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
Hakim lain yang turut bersidang iaitu Tan Sri Nik Hashim Nik Abdul Rahman dan Wan Hassan Wan Muhamad.
Daud berkata, keputusan penangguhan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 4 April lalu tidak sepatutnya berlaku kerana perintah itu dikeluarkan ke atas isteri yang sah.
Bagaimanapun Elia Suhana mendakwa dihalang Raja Perempuan Kelantan dan dua pengawal peribadinya untuk bertemu suaminya.
Dan pada 21 Februari lalu mahkamah mengarah ketiga-tiga defendan hadir untuk tunjuk sebab.
Sedangkan sebelum itu pada 4 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di Kota Bharu membenarkan isteri kedua melawat Sultan Kelantan setiap Sabtu sehingga pagi Isnin.
Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Syariah menangguhkan kes permohonan Elia Suhana bagi mendapatkan hak lawatan kekal ke atas suaminya kepada 13 Jun depan.
Penangguhan itu disebabkan Mahkamah Tinggi Syariah mahu permohonan itu didengar selepas kes bantahan awal pengesahan lafaz cerai Sultan Kelantan ke atas Elia Suhana diputuskan pada 23 Mei ini.
Elia Suhana memfailkan permohonan interlokutori pada 21 Mac lalu untuk membatalkan permohonan lafaz cerai Sultan Kelantan terhadap dirinya yang difailkan seorang wanita, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60.
Sultan Kelantan didakwa menjatuhkan talak ke atas Elia Suhana pada 12 Februari lalu ketika menjalani rawatan di Singapura.
Peguam Fakhrul Azman Abu Hassan mewakili Elia Suhana, manakala Raja Perempuan Kelantan diwakili peguam Zainul Rijal Abu Bakar.
0 comments:
Post a Comment