KSSB Nafi Dakwaan MP Kapar, Bagi Tempoh 48 Jam Memohon Maaf Jika MP Kapar Gagal Saman Fitnah akan Diambil


SHAH ALAM, 13 Mei — Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) hari ini menafikan dakwaan Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam, bahawa wujud amalan rasuah membabitkan pegawai kanan dalam anak syarikat kerajaan negeri itu.

Pengarah Eksekutifnya Ramli Abd Majed, berkata Kumpulan Semesta yang terlibat dalam aktiviti melombong pasir di negeri itu, mahu Manikavasagam (gambar) menarik balik dakwaan tersebut dan memohon maaf dalam tempoh 48 jam.

Katanya syarikat itu akan memfailkan saman fitnah terhadap Manikavasagam jika dia gagal berbuat demikian dalam tempoh masa yang diberikan.

“Tuduhan kerugian dan salah urus adalah tindakan bagi merosakkan nama baik syarikat,” kata Ramli dalam kenyataan di sini hari ini.

Ramli berkata syarikat itu membuat keuntungan dan melaksanakan dasar-dasar dan garis panduan yang telus bagi mengekang amalan rasuah dan rela memberi kerjasama penuh kepada agensi yang menyiasat bagi membersihkan semua tuduhan tidak berasas itu.

Ramli berpendapat Manikavasagam perlu meletakkan jawatan dan membayar pampasan kepada Kumpulan Semesta kerana mencemarkan nama baik jika syarikat itu didapati bebas daripada semua dakwaan tersebut.

Semalam, Manikavasagam membuat laporan polis berhubung dakwaan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Khalid berkata dakwaan rasuah dalam Kumpulan Semesta itu akan dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.