KOTA BHARU 5 Mei – Polis diarahkan untuk meningkatkan kawalan keselamatan ke atas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra yang sedang menjalani rawatan susulan masalah jantung di Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian berikutan kejadian seorang pengawal keselamatan istana ditembak Sabtu lepas.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra telah menitahkan kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi untuk memastikan keselamatan dan kesihatan Sultan lebih terjamin.
Ini berikutan insiden pengawal keselamatan Istana Diraja Kelantan, Ramli Mohamad, 50, yang cedera parah di dada akibat ditembak empat das oleh suspek yang tidak dikenali pada 1 Mei lalu, katanya.
"Berdasarkan titah-titah arahan tersebut, maka bermula 4 Mei pihak polis telah meningkatkan kawalan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sultan Kelantan dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian semalam untuk menjalani rawatan susulan masalah jantung.
Abdul Halim berkata, Sultan Kelantan telah dibawa ke HUSM semalam dengan iringan ketat polis dan ditempatkan di Wad Diraja supaya doktor pakar dapat memeriksa dan memberi pandangan kepada Pemangku Raja dan kerajaan negeri untuk rawatan susulan dan tindakan lanjut.
Menurut pegawai-pegawai istana, Sultan Kelantan akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur petang esok dengan pesawat kerajaan untuk menerima rawatan susulan. – Bernama
0 comments:
Post a Comment