Ibu Sarat Mengandung Antara 5 Terkorban Dalam Kemalangan Ngeri di Km 81.5 Johor Bahru - Mersing



Nadatul Isma Md. Isa (terbaring, kanan) ditenangkan kaum keluarga ketika meratapi kematian anaknya (bungkusan kuning) dan ibu mertuanya, Zabidah Ali Seman (kiri) di Hospital Kota Tinggi, semalam.


JOHOR BAHRU 7 Mei - Lima sekeluarga, seorang daripadanya wanita yang sarat hamil lapan bulan maut apabila kereta Proton Wira yang mereka naiki bertembung dengan sebuah Mercedes-Benz di Kilometer 81.5, Jalan Johor Bahru-Mersing, berhampiran Felcra Sungai Ara di Kota Tinggi hari ini.

Dalam nahas ngeri yang berlaku pukul 1.30 petang itu, tiga daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, seorang dalam perjalanan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) manakala seorang lagi ketika menerima rawatan kecemasan di hospital itu.

Enam lagi mangsa termasuk dua penumpang Proton Wira itu hanya mengalami cedera ringan.

Mereka yang maut dalam kejadian itu ialah pemandu Proton Wira, Md. Azahar Ali Seman, 39; isterinya, Noraini Norzaini, 27, yang sedang hamil serta kakak Md. Azhar, Zabidah, 49.

Mayat kandungan bayi perempuan Noraini yang cukup sifat dan berusia lapan bulan turut meninggal dunia dan terpaksa dikeluarkan sebaik sahaja dibawa ke HKT.

Turut maut ialah anak Zabidah, Adriana Balkis, 6, dan Putri Alya Batisha Mohd Fadzely, setahun.

Menantu Zabidah yang juga ibu kepada Putri Alya Batisha, Nadatul Isma Md. Isa, 24, dan anak Md. Azahar, Nazrul Haikal, 6, cedera di lengan dan kaki.

Kereta Proton Wira itu bertembung dengan kereta Mercedes-Benz yang dinaiki empat sekeluarga dipercayai datang dari arah bertentangan menuju ke Mersing.

Akibat pertembungan itu, kedua-dua kenderaan berkenaan terbabas ke tepi jalan sebelum terhumban ke dalam sebuah lubang sedalam tiga meter.

Rombongan keluarga dari Felda Keratong 10, Pahang itu dikatakan dalam perjalanan menghadiri majlis pertunangan saudara mereka di Kangkar Pulai yang dijadual berlangsung esok.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Mohamed Sebot berkata, pemandu kereta Mercedes-Benz, Kasmadi Kamsan, 44, dan isterinya yang berusia 43 tahun hanya cedera di kaki.

Menurutnya, dua lagi anak mereka yang berusia 4 dan 18 tahun hanya mengalami cedera ringan.

"Kesemua mayat mangsa dibawa ke HKT untuk bedah siasat manakala dua penumpang kereta Wira yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

"Kasmadi yang patah kaki kanan dan isterinya yang mengalami keretakan tulang kaki dihantar ke Hospital Sultanah Aminah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, polis akan mengambil keterangan Kasmadi dan isteri setelah mereka dibenarkan keluar daripada hospital bagi membantu siasatan.

Sementara itu, suami Nadatul Isma, Mohd. Fadzely Aziz, 28, ketika ditemui di HKT berkata, dia terkejut apabila diberitahu isteri dan anaknya terbabit dalam kemalangan kerana sebelum itu isterinya memberitahu tidak menghadiri majlis pertunangan itu.

"Bagaimanapun saya terkejut apabila menerima panggilan telefon kira-kira 3 petang ini yang mengatakan isteri dan anak saya terbabit dalam kemalangan di Kota Tinggi," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.