Al fatihah: Takziah Kepada Keluarga Ramli, Pengawal Istana Kelantan yang ditembak Kembali Ke Rahmatullah

Pengawal Istana Kelantan Ramli Mohamad, 50, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu hari ini, 19 hari selepas menerima rawatan akibat ditembak oleh individu tidak dikenali.

Menurut seorang anggota keluarganya, Ramli meninggal dunia kira-kira pukul 3.30 pagi ini selepas berada dalam keadaan kritikal sejak semalam apabila organ utamanya dijangkiti kuman.

"Arwah kini dibawa ke bilik mayat untuk urusan jenazah," katanya kepada Bernama.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berada di Hospital awal pagi ini bersama beberapa pegawai Istana untuk menziarahi jenazah Allahyarham.

Semalam Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra menghulur sumbangan RM100,000 kepada Ramli sebagai bantuan untuk mengurangkan beban keluarga pengawal istana itu.

Ramli meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.

Dalam kejadian 1 Mei lalu, Ramli yang sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah, ditembak oleh seorang suspek yang tidak dikenali di Kampung Kok Keli, Tumpat.

Beliau mengalami kecederaan parah akibat terkena empat das tembakan dari jarak dekat.

Berikutan kejadian itu Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra menitahkan supaya kawalan keselamatan ke atas Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra ditingkatkan.

- Bernama

1 comments:

  1. AL-FATIHAH Buat saudara Allahyarham Ramli. Semuga roh mu Allah tempatkan dikalangan solihin.Buat keluarga Allahyarham, ucapan takziah diucapkan, banyak-banyak bersabar, redhalah pemergiannya.Semuga keadilan duniawi dapat memberkas pembunuh yang kejam itu dan bongkar siapa perancang utama kes ini, kita tidak mahu ada lagi hamba Allah dikambing hitamkan.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.