"Tahniah Pejuang Melayu Tulen".. Bang Brahim Nak Saman The Sun Kerana Fitnah Terhadapnya

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali hari ini memfailkan saman terhadap akhbar berbahasa Inggeris The Sun, ketua pengarang dan wartawan yang didakwa menyiarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya dan Sultan Selangor.

Samannya itu difailkan oleh peguamnya, Datuk Salehudin Saidin di Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini.

Ditemui pemberita, Salahudin berkata anak guamnya menuntut gantirugi yang akan ditentukan mahkamah, permohonan maaf secara terbuka dan perintah injuksi bagi melarang pihak tersebut daripada terus menyiarkan berita seumpama itu.

Katanya, akhbar The Sun pada 17 Mac menyiarkan laporan yang didakwa berunsur fitnah bahawa Ibrahim dan PERKASA tidak mendapat perkenan Sultan Selangor bagi merasmikan mesyuarat agung NGO itu pada hujung bulan lalu.

"Tulisan itu juga menggambarkan anak guam saya chauvinis Melayu dan kuat perkauman," katanya.

Selain laporan berita itu, Ibrahim sebelum ini juga pernah mendakwa satu lagi laporan dalam akhbar yang sama, mendakwa Sultan Selangor telah menasihatkan presiden PERKASA itu supaya jangan bersikap melampau.

Dalam laporan tersebut, The Sun memetik sumber-sumber yang menyatakan bahawa Sultan Selangor, Tuanku Sharafuddin Idris Shah tidak komited sama ada baginda akan merasmikan AGM PERKASA selepas menerima mengadap Ibrahim selama 40 minit di Istana Mastika.

AGM PERKASA berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu dengan dirasmikan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

'PERKASA lebih semangat'

Sementara itu, Ibrahim yang hadir sama di Mahkamah Tinggi Shah Alam mendakwa akhbar berkenaan mungkin berniat jahat dengan menyiarkan laporan itu memandangkan tiada media lain yang melaporkan berita sebegitu.

Beliau juga mengesyaki terdapat pihak-pihak tertentu di belakang media terbabit yang mahu menggagalkan AGM PERKASA.

"Laporan itu amat serius kerana membabitkan Sultan Selangor dan nama baik PERKASA.

"Kita tak pernah pun bersifat perkauman dan ultra Melayu," katanya.

Ditanya tentang tindakan sesetengah media baru yang didakwa menggambarkan PERKASA sebagai perkauman, Ibrahim menegaskan pihaknya hanya memperjuangkan kepentingan Melayu berdasarkan ruang lingkup perlembagaan negara.

"Dong Ziong, suatu masa Su Qiu juga membuat pelbagai tuntutan kepada kerajaan. Tak ada siapa pula sebut mereka perkauman," katanya.

Justeru tambahnya, label yang diberikan kepada PERKASA tidak adil.

"'Kita tidak tertekan, bahkan kita jadi lebih bersemangat," katanya.

Beberapa pemimpin kanan PERKASA turut hadir menemani Ibrahim memfailkan tuntutan hari ini.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.