Siasat mengapa GMC Lingkup Di bawah Syed Azidi


Salmah & Muhd Yusri

KOTA BHARU, 29 April: Menjelang pilihan raya umum ke-12, Global Media Channel (GMC) diwujudkan lengkap dengan pasukan petugas media bagi menjawab isu semasa yang dibangkitkan pemimpin Umno.

Namun syarikat itu tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri dan PAS Kelantan.

GMC lengkap dengan bilik sidang media dan peralatan audio visual yang canggih. Pejabatnya menumpang di bahagian bawah bangunan tiga tingkat milik sebuah yayasan.

Ketika itu Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang lebih dikenali sebagai Kickdeffela diberi amanah mengetuai GMC.

Menurut sumber, Azidi diberi tanggungjawab mengendalikan GMC kerana dikata orang ada kepakaran dalam bidang berkaitan.

”Namun hampir dua tahun beroperasi GMC bermasalah sehingga seorang demi seorang kakitangan berhenti kerja sehingga ada yang membawa diri ke Kuala Lumpur.

”Mereka tidak senang dengan cara pengurusan yang diketuai Syed Azidi dan isterinya. Ramai yang tidak dapat mendapat gaji, sedangkan pada peringkat awal ada pihak memberi modal bagi mengurus operasi GMC.

”Persoalan mengapa syarikat itu kini lingkup, ke mana duit peruntukan yang disumbang pelbagai pihak. Kita bimbang berlaku silap urus sehingga GMC berkubur,” kata sumber berkenaan.

Sebuah akhbar hari ini memetik blog milik Azidi yang mendakwa beliau menerima RM4 juta bagi melemahkan kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi perdana menteri dan memperkuatkan PAS Kelantan.

Sumber itu berkata, sepatutnya satu siasatan dilakukan kerana amanah yang diberi untuk mengurus GMC akhirnya lingkup di tengah jalan.

Ditanya mengenai dakwaan sebanyak RM4 juta diberi pihak tertentu kepada Azidi, katanya, hanya dia yang sahaja tahu kedudukan sebenar sama ada betul atau sebaliknya.

Mengenai dakwaan Azidi mengatakan dia banyak membantu PAS mempertahankan Kelantan pada pilihan raya tersebut kata sumber terbabit, tidak ada asas untuk menyokong kenyataan itu.

Katanya, rata-rata pemimpin PAS di Kelantan pun tidak tahu kewujudan GMC ketika itu sehingga dikatakan Azidi kononnya memainkan peranan untuk melemahkan kepimpinan Pak Lah.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataannya sebelum ini yang mencabar penulis blog Kickdefella membuat laporan polis berhubung tuduhannya terhadap kerajaan negeri dan PAS tidak ada kaitan dengan jawatannya sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar.

“Suka saya memaklumkan kenyataan saya baru-baru ini yang mencabar beliau membuat laporan polis dibuat di atas nama Dewan Pemuda PAS Kelantan dan tiada kaitan langsung dengan posisi saya di Pejabat Menteri Besar,” ujarnya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.