Oleh Norasikin Samsi
KUALA LUMPUR 19 Apr - Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyokong penuh tindakan Kerajaan Negeri Kelantan membawa kes tuntutan royalti minyak daripada kerajaan pusat ke mahkamah.
Menurut beliau, penetapan itu dibuat sebagai jalan akhir selepas rundingan bersama Petronas gagal dilaksanakan dan ia wajar dilakukan berikutan keengganan kerajaan pusat menunaikan janji tersebut malah bersikap angkuh dengan menafikan hak rakyat Kelantan.
"Keputusan kerajaan Kelantan itulah tindakan paling akhir yang boleh dibuat. Tetapi sebelum pergi kepada mahkamah haruslah diberikan ruang yang masih ada untuk berbincang bagi mendapatkan royalti minyak itu dibayar kepada Kelantan. Dan ini jalan terakhir yang sepatutnya dilakukan.
"Tetapi sebagai sebuah kerajaan yang adil, amanah, demokratik yang berpegang kepada prinsip itu sendiri tidak sepatutnya menunggu keputusan itu dibuat di mahkamah.
Sebaliknya mereka sendiri harus sedar segala bentuk perjanjian yang telah dilakukan atas nama kerajaan sebelum ini harus ditunaikan oleh mereka. Jadi kerajaan yang ada hari ini mengatakan kalau hendak membuat tuntutan hendaklah dibuat di mahkamah.
"Ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak berpegang pada janji, angkuh. Kalau dia salahpun dia hanya minta mahkamah yang mengatakan dia yang bersalah. Saya fikir itu adalah satu perkara yang tidak kena. Sepatutnya kerajaan yang bertanggungjawab dan dari awal lagi tak perlu kecoh-kecoh berjanji nak bayar royalti sedangkan yang hanya mampu mereka berikan hanya wang ihsan," katanya kepada Suara Keadilan di lobi Parlimen hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa dilaporkan berkata, langkah itu diambil sebagai memenuhi resolusi yang diputuskan oleh kerajaan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas.
Beliau berkata pada persidangan itu, semua anggota dewan bersetuju supaya tuntutan royalti minyak yang diperoleh di perairan negeri ini dibuat secara rundingan dengan Petronas dan jika gagal, barulah tindakan mahkamah diambil.
Pesuruhjaya PAS II Kelantan itu berkata, kerajaan negeri berusaha untuk berunding dengan Petronas dan sudahpun menghantar surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas yang baru, Datuk Shamsul Azhar Abbas untuk tujuan itu tetapi tiada jawapan.
"Atas dasar itulah, kita akan tetap mengemukakan tuntutan royalti minyak kerajaan negeri ke mahkamah. Bagaimanapun, bila dan bentuk tindakan itu bergantung kepada keadaan," katanya.
0 comments:
Post a Comment