Perangi Rasuah : Rang Undang2 Mula Dibentang

erajaan hari ini membentangkan Rang Undang-undang Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi memerangi rasuah dan memudahkan pendedahan kegiatan itu.

Dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat hari ini, rang berkenaan memberi perlindungan kepada pemberi maklumat supaya tidak mendedahkan maklumat sulit dalam mana-mana prosiding mahkamah.

Maklumat itu meliputi mana-mana buku, dokumen atau kertas catatan yang menamakan pemberi maklumat berkenaan.

"Segala petikan sedemikian (hendaklah) disembunyikan daripada pandangan atau dipadamkan setakat yang perlu untuk melindungi pemberi maklumat itu daripada diketahui, tetapi tidak lebih daripada itu," rang tersebut dipetik.

Perlindungan itu, yang terkandung dalam Bahagian III dalam fasal berkenaan, juga memberi kekebalan kepada pemberi maklumat daripada tindakan sivil.

"Tertakluk kepada subseksyen 11(1), seseorang pemberi maklumat tidak tertakluk kepada apa-apa liabiliti sivil atau jenayah atau apa-apa liabilit yang berbangkit melalui proses pentadbiran," menurut rang undang-undang itu lagi.

Ini termasuklah tindakan tatatertib, tiada tindakan (no further action), tuntutan mahupun desakan.

Pemberi maklumat berkenaan boleh membuat aduan kepada mana-mana agensi penguatkuasaan sekiranya dikenakan apa-apa "tindakan yang memudaratkan."

Tindakan memudaratkan itu digariskan sebagai ancaman untuk mengambil tindakan, mengapi-apikan mahupun membenarkan pihak lain mengancam atau mengambil tindakan.

Selain itu, undang-undang itu juga melindungi mata pencarian seseorang pemberi maklumat, sama ada seorang penjawat awam mahupun pekerja swasta sekiranya mereka membuat sesuatu pendedahan.

Pelanggaran kepada peruntukan undang-undang itu diperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 15 tahun, atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, agensi penguatkuasaan diberi kuasa untuk membatalkan perlindungan kepada pemberi maklumat berkenaan sekiranya pemberi maklumat itu sendiri terlibat dalam kelakuan yang didedahkannya itu.

Status perlindungan itu juga terbatal sekiranya pemberi maklumat berkenaan sengaja membuat pendedahan palsu.

Selain itu, ia perlindungan itu juga terbatal sekiranya pendedahan itu dianggap "remeh dan menyusahkan" dan sekiranya pendedahan itu mempersoalkan merit dasar kerajaan.

Pendedahan yang sengaja dibuat untuk menyelamatkan diri daripada dibuang kerja atau dikenakan tindakan tatatertib lain, juga tidak dilindungi.

Pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan agensi penguatkuasaan dalam kes tersebut bagaimanapun bebas untuk merujuk keputusan berkenaan ke mahkamah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.