Hulu Selangor: Persiapan Jentera Pilihanraya Pas Membuka Lebih 60 Markas


Rekod Khidmat Cemerlang, Pakatan Rakyat Yakin Diterima Pengundi

Oleh Rusnizam Mahat

KUALA KUBU BAHARU 11 Apr - Naib Presiden KEADILAN, Azmin Ali berkata Pakatan Rakyat mempunyai rekod prestasi kerja yang baik di Selangor yang pastinya akan dinilai oleh pengundi di Hulu Selangor pada pilihan raya kecil 25 April ini.

Menurutnya, beliau yakin rakyat akan memberi sokongan kepada Pakatan berdasarkan rekod pentadbiran dalam tempoh dua tahun ini melalui agenda reformasi dalam pentadbiran dan pengurusan ekonomi negeri.

"Dengan rekod kerja dan prestasi yang baik ini rakyat tidak akan membuat pertimbangan secara emosi tetapi dengan fakta yang cukup jelas bahawa Pakatan Rakyat merupakan gagasan baru yang mampu bawa perubahan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri," katanya kepada Suara Keadilan.

Tambah beliau, Umno tidak ada lagi isu yang boleh dimainkan dalam pilihan raya kecil itu selain membawa isu bersifat perkauman dan serangan peribadi.
"Umno tidak sekuat dulu dan BN juga tidak ada kekuatan dalaman, maka mereka datang ke Hulu Selangor dengan sogokan politik melalui fitnah yang akan digunakan melalui media yang dikuasai mereka," kata Azmin lagi.

Mengenai persiapan jentera pilihan raya pula, Azmin berkata setakat ini komitmen yang ditunjukkan rakan parti dalam Pakatan Rakyat, seperti PAS dan DAP sangat membanggakan.

"Saya bersyukur kerana persiapan jentera setakat ini bukan sahaja tertumpu kepada jentera KEADILAN tetapi di selaraskan secara kolektif bersama jentera Pakatan Rakyat.
PAS dan DAP nampak bersungguh-sungguh dan cukup komited membantu keadilan dalam pilihan raya kecil kali ini," ujarnya.

Tambah beliau, persiapan jentera PAS dan DAP di luar jangkaan yang menyaksikan PAS menyewa lebih 60 buah markas dan penginapan bagi petugas pilihan raya yang datang dari luar seluruh negara.

"Sementara DAP telah menganjurkan beberapa program khusus untuk masyarakat Cina seperti majlis jamuan makan untuk menjelaskan dasar Pakatan Rakyat di Selangor," ujar beliau.

Azmin berkata, perkara itu menunjukkan komitmen Pakatan Rakyat bergerak dalam satu semangat kekeluargaan bagi menyampaikan mesej kepada pengundi bahawa dasar ia mampu membela hak dan mengangkat martabat mereka.

Ditanya mengenai persiapan PRK Parlimen Sibu yang dikosongan berikutan kematian Ahli Parlimennya dua hari lepas, Azmin berkata Pakatan Rakyat akan mengadakan perbicangan dalam masa terdekat bagi menentukan calon sesuai di kawasan itu dan berasaskan prinsip 1 lawan satu.

"Pengalaman kita yang lalu khususnya dalam pilihan raya umum, kita mendapat pengajaran besar jangan lagi bersaing sesama sendiri. Dalam konteks di Sarawak ini kita berdepan dengan jentera BN yang memiliki kekayaan luar biasa. Pakatan Rakyat akan bersama bagi menghadapi cabaran besar untuk memastikan kita dapat membawa kemenangan," ujar beliau.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.