Gobind, Peguam Saksi Mahukan Kes Polis Tembak Remaja Segera Diselesaikan


Ahli parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkara polis patut menyelesaikan dengan cepat kes seorang remaja berusia 15 tahun - Aminulrasyid Amzah - yang ditembak mati oleh polis awal pagi semalam.

Gobind bertindak sebagai peguam pihak saksi – rakan Aminulrasyid – yang berjaya melarikan diri dalam insiden tersebut.

“Kes ini boleh diselesaikan dengan cepat. Kes ini cukup jelas, kita ada saksi kejadian,” katanya ketika menziarahi keluarga Aminulrasyid di Seksyen 11 Shah Alam pagi ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas panjang kerana menurutnya kes tersebut masih disiasat.

“Saya minta Bukit Aman mengendalikan kes ini. Kita tidak mahu ia berlaku lagi di masa depan.” katanya.

Ahli parlimen Puchong itu juga berhasrat menemui Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar hari ini berhubung kes tersebut.

Sementara itu, PKR menyelar tindakan pihak polis yang didakwa menyifatkan remaja 15 tahun yang ditembak mati sebagai mungkin terlibat dalam kes jenayah.

Ketua penerangannya Latheefa Koya berkata tindakan itu adalah "kenyataan sebelum siasatan".

"Kami ada saksi, kami akan 'follow up' isu ini. Kes sebegini tidak boleh berulang lagi," katanya yang menawarkan diri sebagai peguam keluarga Aminulrasyid.

Bercakap dalam sidang media selepas menemai ibu Aminulrasyid membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Shah Alam petang ini, Latheefa berkata, pihaknya akan terus memantau tindakan kes tersebut bagi memastikan tindakan sewarnya diambil.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah exco Selangor Yaakub Sapari, setiausaha politik kepada menteri besar Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya, aktivis peguam N Surendran dan ahli parlimen Kapar S Manikavasagam.

Sementara itu, seorang lagi aktivis peguam, N Surendran turut menawarkan diri membantu kes tersebut.

Katanya, beliau tidak dapat menerima alasan yang diberikan yang membolehkan pihak polis menembak remaja berkenaan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.