Penduduk setempat dan pengunjung ke Kuala Kubu Baharu di Hulu Selangor dijemput menjamu selera dengan nasi lemak dan teh tarik pada "kenduri rakyat" anjuran Jabatan Warisan Negara (JWN) esok.
Program yang dinamakan Pesta Nasi Lemak-Teh Tarik dan Makanan Warisan 1Malaysia akan diadakan di padang kawad akademi bomba dan penyelamat Malaysia Kuala Kubu Baharu, bermula dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.
Pesuruhjaya JWN, Prof Emeritus Datuk Siti Zuraina Abdul Majid berkata pesta ini akan menampilkan makanan warisan daripada pelbagai kaum termasuk Sabah dan Sarawak.
"Selain nasi lemak dan teh tarik, makanan tradisi Cina seperti 'char kuey teow' dan pau serta makanan tradisi India seperti apam dan putu mayum turut disajikan. Tidak ketinggalan makanan tradisi Sabah dan Sarawak seperti kuih cincin.
"Semua makanan warisan yang akan disajikan adalah bersifatkan 1Malaysia," katanya kepada Bernama Jumaat.
Beliau berkata pihak JWN dan penduduk setempat juga akan bergotong-royong menghasilkan nasi lemak bungkus terbesar berukuran hampir dua meter dan berharap ia dapat dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.
Siti Zuraina berkata pesta tersebut akan dirasmikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan dihadiri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isterinya Datin Seri Masnah Rais.
Katanya pelbagai pameran daripada jabatan-jabatan di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan turut diadakan pada pesta tersebut.
"Antara pameran yang akan diadakan termasuk pameran pakaian tradisional, pameran permainan tradisional dan pameran ular oleh Jabatan Muzium Negara. Turut diadakan demonstrasi masakan Sabah dan Sarawak," katanya.
Di samping itu, pelbagai pertandingan juga telah direncanakan untuk pengunjung, antaranya pertandingan kukur kelapa, pertandingan aksi teh tarik, pertandingan menebar roti canai, pertandingan permainan tradisi dan cabutan bertuah.
Sementara itu, beliau yang menyifatkan pesta ini sebagai 'kenduri rakyat' berharap pesta ini menjadi platform untuk memperkenalkan makanan warisan kepada masyarakat dan merapatkan hubungan antara kaum.
"Saya mahu masyarakat sedar makanan itu adalah satu aspek warisan kita. Selalunya kita ambil mudah... kita lupa yang kita makan itu adalah warisan kita juga," katanya.
0 comments:
Post a Comment