Tiga remaja ini kagum melihat peralatan sains serba canggih yang terdapat di Pusat Sains Negara Wilayah Utara, di Alor Setar.
ALOR SETAR 2 Mac – Penduduk di utara Semenanjung kini tidak lagi perlu ke ibu negara untuk melihat pameran sains interaktif apabila Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara (PSNCWU) dibuka secara rasmi semalam.
Perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili yang turut dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah.
Cawangan pertama Pusat Sains Negara (PSN) di luar Kuala Lumpur itu terletak di Gunung Keriang di sini dengan mempunyai keluasan 8,029 meter persegi.
Tapak berkenaan dipilih berikutan ia terletak berhampiran dengan Muzium Padi dan Kompleks Akuatik yang sekali gus menjadikan sekitar kawasan berkenaan sebagai lokasi kunjungan orang ramai.
Pusat itu mula dibuka kepada pelawat pada 1 Julai tahun lalu untuk tujuan percubaan bagi mengenal pasti masalah-masalah yang perlu ditangani sebelum ia beroperasi secara rasmi.
Sejak itu, PSNCWU telah menerima kunjungan kira-kira 130,000 orang dan angka berkenaan jelas menunjukkan kesedaran serta minat yang tinggi terhadap kepentingan sains di kalangan masyarakat di zon utara.
Pembangunan konsep pameran PSNCWU mengekalkan falsafah asas penubuhan PSN iaitu keseimbangan dan keharmonian antara sains, alam sekitar serta nilai-nilai keagamaan.
Justeru, PSN mempunyai keunikan yang tersendiri selain menyediakan kemudahan yang selaras dengan falsafah pembelajaran menerusi penerokaan dan penemuan demi mencetus minat terhadap pembelajaran sains serta teknologi sepanjang hayat.
Pengarah PSN, Prof. Madya Dr. Irmawati Ramli berkata, penubuhan cawangan PSN itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat saintifik yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi penyumbang kepada tamadun saintifik serta teknologi pada masa depan.
Misi penubuhan cawangan itu, katanya, ialah untuk mendekatkan rakyat Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak dengan pusat sains agar semua program pendidikan sains dapat dicapai dengan mudah.
“Peranan PSN amat penting dalam pembelajaran sains kerana ia menawarkan pengalaman yang menyeronokkan dalam mencuba pelbagai pameran interaktif dan pada masa sama mencetus pemikiran kritis.
“Hasilnya ia akan membina minat pengunjung terhadap sains, teknologi dan inovasi,” katanya dalam buku cenderamata sempena pelancaran PSNCWU.
Secara umumnya, PSNCWU menyediakan pelbagai aktiviti dan bahan pameran interaktif bertemakan sains, teknologi serta inovasi menerusi konsep pembelajaran tidak formal.
Ia menekankan pemikiran kreatif dan inovatif menerusi imaginasi serta pengalaman menyeronokkan.
Bangunan itu mempunyai dua aras yang mana aras bawah menempatkan kaunter tiket, kedai cenderahati, kafeteria dan surau untuk kegunaan pengunjung.
Aras satu pula terletaknya galeri pameran sains interaktif dan lobi yang mempunyai sebuah persekitaran dilengkapi dengan informasi aktiviti pusat sains berkenaan bagi tujuan hebahan kepada orang ramai.
Antara bahan pameran bertema di galeri tersebut ialah ‘Terowong Mempesona’, ‘Kawasan Sains’ dan ‘Astaka Kanak-kanak’ yang pasti memberi pengalaman menarik serta berguna kepada pengunjung yang menerokainya.
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my
aku pon besa p tempat niee... best ooo... mcm2 ada...aku tgk basikal ats tali ada tmn permainan ada... tmn permainan tu gelap.. dlm tuuu ada tangga. eeee.... seramnye....
ReplyDelete