Pengerusi UMNO Kedah Hina Orang Asli - DEMO



Shafie Apdal, Menyatakan Mereka Bukan Protes Tapi Jalan-jalan Di Putra Jaya

Penerangan dari pihak kerajaan berkaitan pindaan ke atas Akta Orang Asli setakat ini masih belum memadai, malah tidak menjelaskan isu sebenar, kata seorang pembentang kertas kerja dalam satu konvensyen semalam.

Wakil masyarakat ini juga melihat penerangan dari pihak kerajaan dalam cadangan pindaan akta berkenaan tidak lebih daripada cubaan untuk membendung sentimen di kalangan Orang Asli yang nampaknya tidak sabar lagi untuk menduduki tanah milik mereka sendiri.

Aturcara program sehari itu memperuntukkan satu sesi pembentangan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) untuk menerangkan cadangan pindaan Akta 134 yang dirancang untuk dibentangkan di parlimen selewat-lewatnya pada Jun ini.


Disogok data lama

Namun, JHEOA tidak menggunakan peluang tersebut untuk menerangkan dasar berkenaan tetapi masih mengemukakan data-data lama, kata Suki Mee ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Dasar pemberimilikan tanah Orang Asli -- Satu tinjauan'.

"Kalau mereka bersungguh-sungguh hendak beri penerangan, mereka akan bentangkan cadangan pindaan akta itu kepada kita di sini, barulah boleh mendapat maklum balas yang jelas daripada Orang Asli," kata anggota Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA) itu.

Katanya lagi, pengumuman peruntukan sebanyak RM150 juta yang dibuat oleh menteri berkaitan hal ehwal Orang Asli, Datuk Seri Shafie Apdal semalam juga bukanlah satu cara yang konkrit untuk merungkai permasalahan sedia ada.

"Kami datang ke konvensyen ini untuk bercakap soal tanah, bagaimana RM150 juta ini dapat menyelesaikan masalah tanah ini?," katanya lagi ketika ditemui Malaysiakini pada sidang berkenaan.

Dalam sesi pembentangan kertas kerjanya sebelum itu, Suki berkata situasi yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli kini semakin meruncing kerana lebih 60% daripada tanah mereka masih belum mendapat sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.

"Agensi-agensi seperti Risda tidak akan dapat memberi bantuan sekiranya tanah yang diusahakan (Orang Asli) belum diwartakan dan diluluskan oleh kerajaan negeri," katanya lagi.

Tanah dirampas

Seorang lagi pembentang kertas kerja, Prof Madya Dr Bahari Belaton berkata keadaan inilah yang memangsakan masyarakat Orang Asli kerana kerajaan negeri berkuasa merampas tanah Orang Asli sewenang-wenangnya kerana tiadak bukti pemilikan tanah berkenaan.

"Kalau betul mereka sedang berusaha untuk memberi milik tanah kepada Orang Asli, kenapa tidak ada kerja-kerja mengukur tanah-tanah ini diadakan?" katanya dalam sesi pembentangan.

Dalam kertas kerjanya itu, Bahari mengupas 19 seksyen utama dalam akta berkenaan yang perlu ditambahbaik dari segi perlindungan dan kesejahteraan warga berkenaan.

"Kupasan ini dibuat berdasarkan kepada beberapa maklumat awal berkenaan kerangka pindaan ini, sama ada secara bertulis atau menerusi penglibatan beberapa ahli PSOA dalam bengkel dan program berkaitan akta 134," kata Bahari dalam kertas kerja tersebut.

Tambahnya, pindaan yang dicadangkan itu perlu mengambil tujuan untuk mengutamakan kepentingan Orang Asli dan memperkukuh hak keistimewaan masyarakat itu.

Jelasnya, ini perlu dilakukan dengan memperhalusi klausa-klausa sedia ada dengan istilah perundangan yang memberi lebih perlindungan kepada kepentingan golongan itu bagi mengelakkan mereka ditindas.

Usir orang tak diingini

Beliau memberi contoh peruntukan dalam Seksyen 14 dan 15 yang memberi kuasa kepada ketua pengarah JHEOA dan polis untuk mengusir dan menghalang orang-orang yang tidak diingini dan berniat jahat daripada memasuki kawasan Orang Asli.

"Perkataan 'tidak bermoral' atau 'berniat jahat' perlukan penjelasan yang sewajarnya supaya perkara ini tidak boleh disalahgunakan oleh pihak berkuasa.

"Perkataan 'tidak diingini' juga perlu diperjelaskan supaya isu ini tidak disalahgunakan oleh pihak yang berkepentingan," katanya dalam pembentangan tersebut.

Jelasnya, peruntukan sedia ada menyebut, pihak berkuasa berkenaan 'boleh' berbuat demikian, tetapi ini perlu digantikan dengan istilah yang lebih proaktif seperti 'perlu' atau 'wajib.'

"Maksudnya, apabila ia dikuatkuasakan, orang politik yang hendak masuk untuk berkempen contohnya tidak boleh dibenarkan masuk ke kawasan Orang Asli. Orang yang tidak digemari ini boleh diusir setelah mendapat persetujuan dua pertiga daripada masyarakat Orang Asli," katanya.

Satu lagi cadangan yang dikemukakan adalah untuk merombak pentadbiran JHEOA supaya dapat mengambil peranan lebih pro-aktif, manakala satu badan lain perlu ditubuhkan bagi memantau perjalanan dalam jabatan berkenaan.

Bahari berkata, penubuhan itu perlu memandangkan JHEOA dikatakan akan distruktur semula menjadi sebuah agensi perbadanan.

"Setakat ini, menteri (pembangunan luar bandar dan wilayah) mempunyai kuasa mutlak ke atas JHEOA," katanya lagi yang juga mahu JHEOA diterajui oleh masyarakat Orang Asli sendiri secara majoriti, khususnya bagi jawatan tertinggi dalam jabatan tersebut," katanya.

Konvesyen disanjung

Datuk Seri Shafie Apdal pada ucapannya semasa merasmikan penganjuran konvensyen itu semalam bagaimanapun menyanjung tinggi usaha menjayakan sidang berkenaan.

Katanya, usaha untuk memberi pendedahan kepada golongan berkenaan mengenai dasar tanah dan perundangan itu adalah satu usaha yang lebih baik berbanding daripada membuat "rusuhan ataupun demonstrasi."

Katanya, usaha melalui perhimpunan seperti itu tidak memberi faedah kepada masyarakat Orang Asli.

Ucapan ini jelas ditujukan kepada pihak yang bertanggungjawab menganjurkan satu demonstrasi di hadapan pejabat Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) di Gombak bulan lalu.

Bercakap kepada kira-kira 500 orang wakil masyarakat Orang Asli dari seluruh negara, beliau juga berkata resolusi yang dicapai melalui konvensyen berkenaan akan disusuli dengan tindakan mengikut kehendak Orang Asli

Katanya lagi, resolusi berkenaan juga akan diteliti oleh satu kumpulan tumpuan yang turut dianggotai wakil masyarakat Orang Asli.

Salah seorang yang akan menganggotai kumpulan berkenaan ialah Rashid Ka', presiden Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA) yang juga penganjur kepada sidang berkenaan. -mk

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.