Majlis Syura Ulama': Nik Aziz antara dilantik semula



KUALA LUMPUR, 24 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, antara yang turut dilantik semula ke Majlis Syura dalam mesyuarat pertamanya malam tadi adalah Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Saya tidak tahu secara rasmi siapa dilantik semalam, cuma saya difahamkan Tuan Guru Nik Aziz juga dilantik menjadi Ahli Majlis Syura," kata Mahfuz kepada media hari ini.

Mahfuz menjawab soalan para wartawan ekoran laporan Harakahdaily tentang mesyuarat pertama Majlis Syura Ulamak malam tadi.

Malam tadi Majlis Syura Ulama PAS mengadakan mesyuarat pertama mereka untuk sessi baru. Ia dipengerusikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut.

Antara anggota mesyuarat malam tadi adalah empat wakil Jawatankuasa PAS Pusat, empat wakil Dewan Ulama dan dua wakil bagi Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Wakil JK Pusat adalah Abdul Hadi sendiri, timbalan presiden Nasharudin Mat Isa, naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Wakil Dewan Ulamak adalah ketuanya, Datuk Harun Taib, timbalan Datuk Ahmad Yaakub, naibnya Datuk Dr Mahfudz Mohamad dan Ustaz Nik Zawawi Salleh.

Wakil Dewan Pemuda adalah ketuanya Nashruddin Hassan dan Ustaz Zaharudin Muhamad. Dewan Muslimat belum memutuskan wakil mereka tetapi menghantar lima nama untuk dipilih.

Menurut Mahfuz, beliau difahamkan, dalam mesyuarat semalam mesyuarat berbincang untuk melantik lima orang ahli syura di kalangan sesiapa sahaja ahli PAS yang tidak semestinya dari Jawatankuasa PAS Pusat atau siapa-siapa yang difikirkan layak untuk menduduki majlis syura.

"Jadi semalam mereka bermesyuarat, saya difahamkan mereka hanya melantik lima orang sahaja tetapi belum melantik siapa Mursyidul Am," kata Mahfuz.

Selepas ini, kata Mahfuz mereka akan bermesyuarat semula bersama lima yang baru dilantik bagi melantik siapa Mursyidul Am di kalangan mererka.

"Ini peruntukan perlembagaan, sama ada melantik orang lama atau orang baru saya tidak tahu, boleh melantik orang baru sebagai Mursyidul Am tetapi itu belum diputuskan," katanya.

"Mereka tidak boleh memilih saya jadi Mursyidul Am," kata Mahfuz bergurau dengan wartawan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.