Ditangguh.. Mohon Semakan Kes Ust Mohd Asri

.

Permohonan semakan kes bekas Mufti Perlis ditangguh

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini menangguhkan sehingga 8 April depan untuk mendengar permohonan semakan oleh pihak pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur yang menolak untuk memindahkan kes bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (bawah) yang didakwa mengajar agama Islam tanpa tauliah ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Hakim Syarie Mohamad Adib Husain menetapkan tarikh itu setelah pegawai pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Zusyarafain Md Yusof memaklumkan bahawa ketua pendakwa Syarie Selangor Abd Shukor Abdul Halim tidak dapat hadir kerana menghadiri mesyuarat di Sabah.

Mohd Asri dan peguamnya, Kamar Ainiah Kamaruszaman serta Jamal Mohd Lokman Sulaiman tidak hadir di mahkamah berikutan telah dimaklumkan lebih awal mengenai perkara itu.

Pada 18 November tahun lalu, Mohd Asri, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, terhadap pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah yang didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Lorong 2 C, Taman Sri Ukay, Ampang, antara 8.10 malam dan 9.45 malam 1 November lalu.

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan yang diketuai Abd Shukor mengemukakan permohonan agar kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi di sini dengan alasan segala fakta dalam kes itu melibatkan pemakaian dan tafsiran yang lebih tepat dan berpengalaman mengikut undang-undang, selain mendapat liputan media massa, dan juga tertuduh mempunyai pengaruh besar dalam kalangan masyarakat luar.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad bagaimanapun menolak permohonan itu dengan alasan bahawa permohonan itu hanya dibenarkan jika pihak pendakwaan mengemukakan alasan yang munasabah dan lebih tepat serta mungkin menyebabkan berlaku prejudis kepada tertuduh dan subjudis kepada mahkamah.

Pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu kemudian memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Pada 10 Disember tahun lalu, Mohd Asri memfailkan bantahan awal terhadap permohonan semakan itu dengan alasan antaranya Mahkamah Syariah Selangor tidak diberi bidang kuasa oleh Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 untuk membicarakan pertuduhan terhadap Mohd Asri kerana ia bukan satu kesalahan terhadap rukun agama Islam.

Bagaimanapun pada 25 Januari lalu, Mohammad Adib menolak bantahan awal itu dengan alasan Mahkamah Syariah Selangor mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes tersebut kerana ia berkaitan Seksyen 119(1) Enakmen yang sama.

- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.