Sumbangan Buku Kepada Anak Mangsa Kebakaran




Shahidan Abdul Rahman
Pengarah Pelajaran Kedah




SUNGAI LIMAU DALAM – Jabatan Pendidikan Negeri Kedah yang prihatin nasib menimpa mangsa kebakaran di Pekan Sungai Limau Dalam baru-baru ini, mengambil inisiatif menyumbang dana dan kelengkapan sekolah serta pakaian.

Majlis penyampaian diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Limau di sini, kelmarin.

Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abdul Rahman berkata, usaha itu dilihat sebagai satu daripada langkah-langkah yang selalu diambil sama ada pada peringkat jabatan, pejabat pendidikan daerah mahupun sekolah dalam membantu mangsa yang terlibat dalam bencana.

“Kita lebih fokuskan kepada bahan untuk pembelajaran iaitu buku-buku, pakaian sekolah dan beg sekolah. Barangan lain seperti wang tunai dan baju juga diberikan tetapi kami lebih sering dahulukan bahan pembelajaran agar mangsa yang terlibat dapat belajar dalam suasana selesa.

“Saya harap bantuan yang diberikan itu dapat membantu pelajar meneruskan pembelajaran mereka seperti kawan-kawan yang lain dan kita tidak mahu mereka ketinggalan.

“Diharapkan usaha ini akan diteruskan lagi di peringkat sekolah dengan mengenal pasti keadaan mereka kerana kita masih boleh salurkan bantuan dari segi bentuk biasiswa atau melalui Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM),” katanya.

Menurutnya, pihaknya telah melaporkan bencana yang menimpa kepada pihak kementerian dan sedang menunggu maklum balas.

“Sumbangan pada hari ini adalah sumbangan daripada pihak jabatan dan kutipan derma yang dijalankan. Seramai tujuh pelajar yang mendapat bantuan iaitu empat pelajar berketurunan Cina dan tiga pelajar Melayu,” katanya.

Sementara itu, penerima bantuan, Pang Xiang Ping, 16, berkata, dia berterima kasih atas sumbangan yang telah diberikan kepadanya dan adik beradiknya yang lain.

“Barangan sekolah saya dan adik-adik semua musnah dalam kebakaran itu. Buku kami semunya hangus. Bantuan ini dapat meringankan beban kami dan ibu bapa. Kami juga dapat belajar seperti rakan yang lain apabila mendapat bantuan buku-buku ini”, katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dulang.

Xiang Ping bersama tiga lagi adiknya diberikan bantuan buku-buku setelah rumah mereka hangus dalam kebakaran, memusnahkan kesemua peralatan sekolah mereka adik beradik.

Dalam pada itu, sebuah keluarga yang rumah mereka turut hangus, Rosli Ishak, 38, turut mendapat bantuan.

Rosli berkata, dia mempunyai lima anak dan tiga daripadanya masih bersekolah.

“Rumah saya musnah semuanya dalam kebakaran itu. Termasuk barangan sekolah anak-anak. Saya mengalami banyak kerugian dan bersyukur kerana jabatan pendidikan prihatin dengan nasib kami dan menghulurkan bantuan.

“Saya harap dengan bantuan yang diberikan ini, anak-anak saya dapat belajar seperti biasa dan semoga mereka lebih cemerlang.

“Saya tidak dapat menyelamatkan apa-apa barangan dari rumah. Kini pun saya hanya menumpang di rumah ibu saya di Kampung Sungai Kering,” katanya yang turut mendapat sumbangan pakaian.

Menurutnya, dia masih belum mempunyai sebarang perancangan terhadap keadaan mereka sekeluarga sekarang kerana masih buntu.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.