Seluruh warga kerja sedakasejahtera mengucapkan SELAMAT HARI KEBANGSAAN KEPADA NEGARA BRUNEI DARUS SALAM YANG KE 26.
Perundingan, turun padang cara paling efektif
KEBAWAH DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan mengurniakan titah Sempena Menyambut Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang Ke-26, di Istana Nurul Iman.
(Foto : Pg. Haji Bahar Pg Haji Omar)
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 22 Februari. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah supaya semua yang dirancang itu dilaksanakan menepati jadual bukan sekadar rancangan di atas kertas saja.
Anak kunci kepada semua ini ialah cara kita melaksanakannya, titah baginda Sempena Menyambut Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-26 yang disiarkan ke seluruh negara melalui Radio Televisyen Brunei.
Baginda bertitah, di antara cara paling efektif ialah melalui perundingan yang berkesan di antara agensi-agensi berkaitan, misalnya, ada rancangan untuk membangun sekolah atau masjid, kadang-kadang yang dijadikan alasan mengapa lambat ialah kerana ada halangan berkaitan dengan syarat-syarat tanah atau tanah belum digezit dan seumpamanya.
Jika inilah alasannya, titah baginda, bukankah semua itu dari kerajaan jua.
Sepatutnya, tegas baginda kalau kerajaan sendiri yang berkehendak tentu saja masalah itu tidak akan jadi sukar lagi.
"Tetapi kelambatan tetap juga berlaku, mengapa? Adakah kita betul-betul serius ataupun tidak? Jika lambat di peringkat bawah adakah peringkat atas mahu turun padang berunding? Inilah masalah kita," tegas titah baginda.
Dan inilah makanya jelas titah baginda, mekanisme penyukat prestasi (key performance indicators) telah dibentuk untuk dipakai sebagai panduan oleh setiap agensi kerajaan.
Satu lagi keperluan dalam usaha kita membangun negara, titah baginda ialah keadaan alam sekitar.
Tegas baginda tidak ada maknanya pembangunan pesat jika alam sekitar terjejas teruk.
"Kerana kita juga terus memerlukan tanah yang subur, udara yang bersih, air minum yang bersih, malah air laut yang bersih yang tidak tercemar. Kerana inilah sumber kesejahteraan yang sebenar-benarnya," titah baginda.
Oleh itu baginda bertitah sudah tiba masanya untuk kita menyegerakan penggubalan undang-undang atau peraturan bagi pembangunan lebih terkawal.
Pada misalnya titah baginda kita perlu menguatkuasakan mekanisme Environmental Impact Assesment dan lain-lain seumpamanya bagi projek-projek pembangunan.
Terdahulu dalam titah baginda telah melahirkan perasaan syukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-26 dalam suasana aman, makmur dan sejahtera.
Kesyukuran kita ini jelas titah baginda adalah sebagai respons kepada peringatan Allah, ayat 7, Surah Ibrahim, tafsir-Nya: "Dan (ingatlah), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangatlah pedih."
Dalam titah tersebut baginda berharap agar nikmat ini semoga berkekalan sehingga ke generasi demi generasi.
Menyentuh tema Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada tahun ini yang berbunyi 'Negaraku Bunei Darussalam' titah baginda ramai orang beranggapan tema seperti ini hanyalah tertentu untuk memupuk semangat patriotism dan cintakan negara semata-mata.
Kalau inilah saja jelas titah baginda ianya belum lengkap lagi.
Menurut baginda, turut lebih penting lagi ialah apakah sumbangan kita untuk 'mengekalkan' nikmat Allah yang di kurniakan-Nya selama ini kepada kita dan negara?.
Patriotisme dan cintakan negara dalam titah baginda sering dilihat orang dari kulitnya saja berupa ikrar-ikrar dan upacara-upacara kesukanan namun tegas baginda jarang orang melihatnya sampai kelubuk-lubuk rahsia: bahawa ni'mat itu ditanai dengan syukur dan digilap dengan kerja-kerja taqwa kepda Allah.
Jika ini ada tegas baginda maka barulah ada harapan untuk ni'mat itu berkekalan, sebagaimana janji Allah Subhanahu Wata'ala sendiri.
Maka bersukut dengan sa'at bersejarah ini baginda menyeru rakyat dan penduduk negara ini untuk sama-sama menghayati amal syukur dan amal takwa itu.
0 comments:
Post a Comment