Bicara kes liwat DS Anwar Tangguh 2.30 petang ini


Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan sehingga 2.30 petang ini sementara menunggu permohonan semakan pihak pembelaan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkan Anwar mendapatkan dokumen dan bahan penting termasuk sampel DNA Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Peguam Anwar, Karpal Singh, berkata pihaknya akan menemui Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi bagi mendapatkan tarikh segera untuk pendengaran semakan itu.

Penasihat PKR dan ahli Parlimen Permatang Pauh itu, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara jam 3.01 petang dan jam 4.30 petang 26 Jun 2008.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Berikut rentetan peristiwa pagi tadi:

10:44 pagi: Penyokong mula bersurai tetapi masih ada yang menunggu sambil menyanyikan lagu Suara Rakyat di pintu masuk bangunan mahkamah. Polis masih mengawal dan tiada kekerasan dilaporan sepanjang pagi tadi.


10:34 pagi: Anwar meninggalkan mahkamah dengan laungan "Hidup Anwar" oleh kira-kira 50 penyokongnya. Wartawan ditegur polis kerana 'merosakan' garisan kuningnya manakala 40 wakil rakyat pembangkang yang berada di situ 'ditegur' kerana didakwa membuat bising.

10:25 pagi: Anwar berucap pada penyokongnya dengan berkata peguamnya akan memanggil Najib dan Rosmah sebagai saksi kerana dia mempunyai bukti bahawa Saiful berjumpa kedua-dua mereka, dua hari sebelum laporan polis dibuat. "Kami mahu tahu pembabitan mereka dalam perkara ini. Mereka tidak menafikan pertemuan itu dan kami mahu tahu lanjut," katanya.

10:11 pagi: Tian Chua dan pemimpin PKR yang lain meluru ke lobi mahkamah. Sambil berdiri di tangga, mereka membidas kerajaan dan menyeru penyokong mempertahankan Anwar. Mereka juga mengibarkan kain rentang berbunyi 'Himpunan bantah fitnah ke-2'. Pergelutan kecil berlaku apabila polis cuba merampas kain rentang berkenaan. Namun mereka dihalang oleh penyokong PKR. Polis membiarkannya dan hanya memanatu keadaan. Ucapan Tian Chua diteruskan.

9:50 pagi: Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah menangguhkan prosiding sehingga jam 2.30 petang, di mana peguam Anwar dijangka berhujah bagi menangguhkan prosiding.

9:45 pagi: Peguam Anwar - Karpal Singh - memohon untuk menangguhkan prosiding pagi ini ekoran temujanji dengan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi berhubung semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu yang menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen berhubung kes liwatnya.

9:26 pagi: Buat pertama kalinya, Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghadiri perbicaraan kes liwat Anwar, tiba.

9:18 pagi: Pasukan pendakwaraya dan peguam masuk ke dewan mahkamah.

9:17 pagi: Anwar sempat berjenaka dengan Ragunath apabila gagal membuka pintu kamar perbicaraan. Beliau berseloroh: "Kamu lebih berpengalaman, selepas 11 tahun, saya masih tidak dapat membukanya".

9:00 pagi: Pemimpin-pemimpin Pakatan, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, pemimpin popular DAP Lim Kit Siang, presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail, timbalannya Dr Syed Husin Ali dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail semuanya sudah tiba di mahkamah.

8:51 pagi: Ketibaan Anwar, anggota keluarganya dan Lim disambut dengan laungan "reformasi" dan hidup Anwar".

8:46 pagi: Pihak pendakwaan Nordin Hassan dan Mohd Yusof Zainal Abiden tiba di mahkamah.

8.42 pagi: Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan tiba sebagai pemerhati untuk kes berprofil tinggi itu.

8:35 pagi: Ketibaan pemimpimpin-pemimpin Pakatan, Dr Syed Husin Ali dan dua exco kerajaan Selangor Elizabeth Wong dan Dr Xavier Jayakumar.
8:33 pagi: Anwar, Wan Azizah dan dua anaknya keluar daripada rumah mereka di Segambut.

8:25 pagi: 50 penyokong berkumpulan di sekitar bangunan mahkamah

8:15 pagi: Beberapa wakil rakyat PKR berkumpul di rumah Anwar.

8:00 pagi: Bapa kepada Mohd Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim tiba.

7:57 pagi: Pihak diplomat daripada Britain, Jepun, Switzerland, Kanada tiba, lebih ramai dijangka hadir.

7:55 pagi: Kira-kira 30 penyokong PKR dan 10 wartawan masih beratur bagi mendapatkan pas masuk.

7:43 pagi: Polis hanya membenar 30 wartawan mengikuti perbicaraan, setiap organisasi hanya dibenarkan menghantar seorang wartawan

7:00 pagi: Anggota keselamatan telah berkumpul di sekitar kompleks mahkamah tersebut. Kawalan keselamatan ketat.

Wartawan telah sedia menunggu sejak daripada jam 6.25 pagi lagi.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.