Bagi Wang Ihsan Melalui JPP Ceroboh Demokrasi


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi menyifatkan pemberian wang ihsan kepada negeri Kelantan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebagai pencerobohan demokrasi terhadap Kerajaan Negeri.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku di negara yang mengamalkan sistem berperlembagaan apabila JPP yang ditubuhkan secara tidak berdemokrasi sebagai kerajaan yang haram tiba-tiba layak untuk menerima duit rasmi melalui perjanjian antara Petronas dengan Kerajaan Negeri.

“Menjadi satu pencerobohan apabila ada pihak lain yang ditubuhkan tidak mengikut sistem demokrasi tampil menerima wang tersebut dan menafikan hak Kerajaan Negeri yang sah dan dipilih oleh rakyat sendiri.

“Ini kerana wang tersebut adalah milik Kerajaan Negeri yang telah termaktub dalam perjanjian dengan Petronas yang sepatutnya membayar royalti secara terus kepada Kerajaan Negeri,” katanya kepada Sinar Harian.

Che Abdullah berkata, oleh kerana royalti merupakan sebahagian daripada perjanjian Kerajaan Negeri dengan Petronas, maka menjadi tanggungjawab Petronas untuk bayar royalti secara terus bukannya melalui pihak lain yang tiada kena mengena dengan Kerajaan Negeri hanya kerana alasan Kerajaan Negeri tidak bijak menguruskan kewangan.

Katanya, alasan berkenaan tidak timbul kerana perkara asas yang paling utama adalah hak sesebuah negeri itu untuk menerima hasil daripada perjanjian yang dibuat bukan soal pengurusan atau kelayakan.

“Kalau nak pertikai soal bijak atau tidak, sudah ada contoh yang berlaku di Terengganu apabila stadium yang bernilai lebih RM300 juta runtuh secara tiba-tiba, ditambah pula stesen bas dan masjid yang juga runtuh serta hospital yang tidak dapat digunakan selepas dibina oleh Kerajaan Persekutuan.

“Secara logiknya, kejadian tersebut menunjukkan berlakunya salah guna kuasa ataupun tidak menguruskan kewangan dengan baik. Jadi di mana bijaknya Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Che Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu turut menyelar tindakan beberapa pemimpin UMNO yang merupakan rakyat Kelantan bertindak menyokong Kerajaan Persekutuan memberi wang ihsan kepada negeri ini sedangkan mereka sendiri tahu apa hak rakyat Kelantan.

“Sebagai rakyat Kelantan yang menjadi pimpinan negara, mereka sepatutnya bercakap dengan lebih bermaruah mempertahankan hak rakyat negeri ini, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Demi kepentingan politik dan jawatan dipegang, mereka sanggup mengetepikan kebenaran dan menafikan hak rakyat. Orang seperti ini patut ditolak dan tidak layak menjadi wakil rakyat,” katanya.

Katanya, apa yang dapat dilihat sekarang, Kerajaan Persekutuan ibarat pencuri yang tertangkap kemudiannya datang untuk berbincang bagaimana menggunakan barang curian itu dengan pemiliknya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.