5 Pelajar Berzina & Hamil Akan Daftarkan Diri Esok Di Negeri Melaka Bandaraya Bersejarah... Hebat KM Melaka Nie...

JASIN: Seramai lima remaja yang sedang hamil akan menjadi pelajar kumpulan pertama yang mendaftar masuk ke Sekolah Harapan di Jalan Pegawai di sini yang ditubuhkan bagi memberi perlindungan kepada golongan berkenaan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mencetuskan idea penubuhan sekolah tersebut berkata remaja berkenaan yang berusia antara 16 dan 17 tahun akan ditemani keluarga masing-masing ketika mendaftar.

"Empat daripada mereka akan bersekolah dalam Tingkatan Lima dan seorang di Tingkatan Empat.

"Mereka masing-masing dari Melaka, Johor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Pahang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis tahlil dan meninjau operasi sekolah tersebut, Ahad.

Sekolah Harapan itu yang dibuka Jumaat lepas dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Melaka, beroperasi di dua bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad yang diubah suai menjadi sekolah berserta sebuah asrama.

Mohd Ali menjelaskan kesemua remaja itu memasuki sekolah tersebut melalui bantuan ibu bapa masing-masing dan bukan datang secara sukarela.

"Seorang daripada lima pelajar perempuan berkenaan adalah berbangsa Cina.

Ini membuktikan kita tidak mengenakan sebarang sekatan atau had demi memberi perlindungan kebajikan kepada remaja yang memerlukan bantuan," katanya.

Beliau berkata peraturan yang ditetapkan di sekolah itu adalah sama dengan pusat pemulihan dan sekolah biasa yang lain termasuk mempraktikkan sistem pembelajaran yang sama.

"Bagaimanapun, orang ramai tidak dibenarkan memasuki sekolah ini tanpa kebenaran dan indentiti serta gambar pelajar dirahsiakan bagi menjaga kepentingan pihak berkaitan," katanya.

Mengenai tindakan undang-undang Syariah terhadap pelajar terbabit di atas kehamilan mereka tanpa hasil pernikahan yang sah, Mohd Ali berkata perbincangan lanjut akan diadakan bersama dengan keluarga remaja terbabit dan terpulang kepada Mahkamah Syariah untuk mengambil tindakan lanjut.

-BERNAMA

Kenapa Polis Berjaya Selesaikan Kes Pembunuhan Kejam Datuk Sosilawati Dengan Segera?

Lawyers for Liberty amat khuatir kerana ramai ahli-ahli politik dan berbagai pihak lain terlalu cepat memuji pihak polis dalam menyelesaikan kes pembunuhan ngeri Sosilawati Lawiya (gambar bawah) dan tiga orang rakannya yang lain.

Apa yang diperlihatkan dalam kes ini sebenarnya amat jauh sekali daripada kecekapan, daya saing dan profesionalisme yang seharusnya dipamerkan pasukan polis. Kes ini menunjukkan pihak polis hanya bertindak dengan tegas apabila melibatkan kehilangan seorang "Datuk" kaya dan terkenal. Dalam masa yang sama tidak memperdulikan atau bersikap sambil lewa terhadap kes-kes kehilangan/ pembunuhan dan kes-kes jenayah komersil.

Selanjutnya dilaporkan bahawa lebih 20 orang yang mungkin dibunuh oleh para penjenayah yang sama.

Bagaimana para penjenayah yang disyaki ini, termasuk dua orang peguam terkenal yang digantung kelayakan profesional guamannya itu dapat melakukan jenayah tersebut dalam jangka masa yang lama dengan kekebalan undang-undang tanpa sebarang tindakan pihak polis?

Maka wajarlah persoalan yang ditimbulkan pihak akhbar barangkali pihak polis telah "dibeli".

Apakah pihak polis kekurangan sumber ataupun sibuk menyiasat dan menganggu ahli politik pembangkang dan pengkritik dengan isu-isu remeh temeh daripada mengambil kira jenayah sebenar dengan lebih serius?

Apakah kita harus terkejut dengan tahap keyakinan orang ramai yang begitu rendah terhadap pihak polis dan pandangan bahawa pihak polis rasuah dan bertindak sebagai pelindung golongan kaya dan berkuasa semakin kukuh?
Lawyers for Liberty (gambar kanan) mengalu-alukan kenyataan Ketua Polis Negara yang baru bahawa pihak polis akan mengambil tindakan serta-merta terhadap kesemua laporan orang hilang dan mereka yang didapati cuai akan diberi amaran keras.

Tidak seperti kenyataan Ketua Polis Selangor yang bersungguh-sungguh mempertahankan pasukan polis dalam isu ini. Ketua Polis Negeri patut tidak terus menafikan soalan-soalan yang wajar, bilamana kebarangkalian kecuaian pasukan polis atau rasuah telah mendorong berlakunya banyak lagi jenayah dan kami mendesak diadakan suatu sisatan terhadap kegagalan-kegagalan ini.

Perkara ini mengenangkan kita kepada kes Norizan Salleh yang tidak sepatutnya menerima tembakan sebanyak lima kali dari anggota polis. Bila aduan keprihatinan ditimbulkan oleh mangsa dan pihak-pihak lain, pasukan polis dan Menteri Dalam Negeri terus menolak aduan tersebut dan mempertahankan tindakan polis itu sebagai betul.

Jika kesnya diambil serius, Aminulrasyid, mangsa polis remaja berusia 15 tahun itu tidak akan terbunuh dalam hujan tembakan peluru, di bawah keadaan yang sama dengan Norizan.

Sikap sinis pasukan polis, bertindak sesuka hatinya tanpa menghormati undang-undang dan piawaian prosedur operasi, tidak akan timbul jika para pegawai kanan polis dan Menteri Dalam Negeri tidak semudah dan secepatnnya dengan secara berterusan melindungi pasukan polis sepenuh-penuhnya serta menolak aduan apabila memang terdapat bukti penembakan sesuka hati, keganasan dan merekacipta bukti.

Begitu juga dengan kes semasa ini, Sosilawati dan kenalannya tidak akan dibunuh jika pihak polis menyiasat kesemua kes orang hilang sebelumnya dan kes-kes jenayah perdagangan yang berkaitan dengan penjenayah disyaki.

Kami seterusnya mendesak Menteri Dalam Negeri untuk mengambil tindakan serta-merta bagi membetulkan kegagalan profesionalisme dan kecekapan pasukan polis - yang teramat penting sekali dengan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Pihak Polis (IPCMC) sepertimana yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Di Raja Pembaikan Operasi dan Pengurusan Polis Di Raja Malaysia pada tahun 2004 - serta mengambil serius setiap kes-kes jenayah dan tidak bertindak hanya apabila terkena kepada para Datuk kaya dan terkenal.

*Kenyataan oleh N. Surendran, dari Lawyers for Liberty.

Peguam 'Datuk' K. Patmanaban Simpan 2 Wanita Warga Asing




KUALA LUMPUR - Peguam K. Patmanaban yang tahanan remannya dilanjutkan sehingga 25 September ini didapati menyimpan dua pekerja wanita warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Dua wanita terbabit ialah seorang wanita warga Indonesia dan seorang rakyat Filipina berusia lingkungan 30-an.

Kedua-dua wanita itu dipercayai diambil bekerja oleh Patmanaban sebagai pembantu rumah yang menguruskan semua kerja rumah di ladang ternakan ayam dan kambing di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting. Ladang Gadong ialah lokasi jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga rakannya dibunuh.

Tugas kedua-dua wanita itu termasuklah melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak dan membasuh pakaian semua pekerja ladang selain membantu menguruskan adik Patmanaban dan Patmanaban sendiri.

Mereka juga dibayar gaji namun belum diketahui berapa jumlahnya.

Difahamkan, kedua-dua wanita itu diambil bekerja di situ kerana isteri dan anak-anak Patmanaban tidak tinggal di rumah ladang tersebut, sebaliknya menetap di rumah lain di Puchong.

"Kita percaya pembantu Indonesia yang berbadan gempal, rendah dan berkulit sawo matang serta wanita warga Filipina yang berketinggian 150 sentimeter dan berkulit cerah itu mula bekerja dengan Patmanaban sejak ladang itu dibuka di antara dua hingga tiga tahun lalu," kata satu sumber ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

-Kosmo

Isu terbaru Di Pulau Pinang - Kerajaan PR Didakwa Guna Duit Judi Bagi Wang Ihsan Untuk Warga Emas..

KEPALA BATAS, 19 Sept — Kerajaan negeri Pulau Pinang Pakatan Rakyat menafikan dakwaan pihak tertentu termasuk Pemuda Umno bahawa pemberian wang ihsan kepada warga emas RM100 setahun dan RM1,000 kepada waris warga emas yang meninggal dunia datangnya daripada hasil judi.

Kerajaan negeri juga menganggap ia sebagai muslihat terbaru Umno untuk menyerang kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng selepas gagal dalam isu khutbah bulan lalu.

Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang Ng Wei Aik berkata, pemberian wang tersebut adalah hasil pendekatan jimat cermat yang diamalkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat sejak mula Mac 2008.

“Pada 2008 perbelanjaan yang berhemah dan sikap jimat cermat oleh kerajaan negeri, daripada peruntukkan sebanyak RM318.56 juta yang dibelanjakan hanya RM283.15 juta.

“Penjimatan sebanyak RM35.41 juta atau 11 peratus telah digunakan untuk manfaat warga emas dan waris mereka yang kehilangan ibu dan bapa,” katanya.

Justeru Ng yang juga setiausaha politik kepada Ketua Menteri berkata, dakwaan yang dilemparkan Ketua Penerangan Pemuda Umno semalam adalah satu tohmahan dan fitnah yang amat merbahaya bagi meracuni pemikiran rakyat khususnya orang Melayu di negeri itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar berkata demikian pada ceramah isu semasa anjuran PAS kawasan Tasek Gelugor di Taman Telok Air Tawar Indah, Seberang Perai Utara malam tadi yang turut dihadiri Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu dan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Yusni Mat Piah.

Semalam Ketua Penerangan Pemuda pusat Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meminta kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog kononnya pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas dan RM1,000 kepada waris warga emas yang meninggal dunia menerusi program Penghargaan Warga Emas menggunakan wang dari sumber judi.

Reezal juga berkata dakwaan tersebut telah menimbulkan kegelisahan dan rasa kurang senang hati segelintir penerima wang tersebut, khususnya yang beragama Islam.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya bukan menuduh kerajaan negeri menggunakan wang judi untuk melaksanakan program penghargaan warga emas sebaliknya hanya mahu penjelasan berhubung dakwaan itu bagi menghilangkan keraguan.

Ng yang juga Setiausaha Pemuda DAP Pulau Pinang turut melahirkan kekecewaan beliau dengan tindakan melampau Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam meraih sokongan dengan membuat andaian dan tuduhan sedemikian.

“Sebenarnya Umno dan BN semakin hilang taring mereka. “Atas kesedaran inilah, maka mereka mencuba pelbagai muslihat untuk memberi imej yang buruk terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang,” kata beliau.

Ng menambah, Umno beranggapan bahawa apabila orang Melayu terpengaruh dan terpedaya dengan perangkap mereka maka DAP, PAS dan PKR akan dilabelkan sebagai parti yang melampau dan tidak patut diberi sokongan menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

“Ini adalah antara taktik dan strategi politik yang mereka rencanakan bagi memerangkap Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.

“Tapi saya optimis rakyat tidak lagi boleh diperdaya oleh Umno dan BN setelah melihat kejayaan kepimpinan Pakatan di Pulau Pinang,” ujar Ng.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.