Terkini: Sidang Dewan Rakyat Hari Ini - Petugas Mula Memasuki Bangunan Parlimen


ANGGOTA keselamatan dilihat mengawal laluan masuk ke bangunan Parlimen sejak awal pagi sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 hari ini.
Turut kelihatan dua kereta perisai Barracuda yang memasuki bangunan berkenaan pada 8.05 pagi.
Setakat ini petugas parlimen kelihatan mula memasuki bangunan berkenaan.
Sidang Dewan Rakyat hari ini hanya bagi urusan Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ia susulan penularan wabak Covid-19 dalam negara yang masih belum reda sepenuhnya.
Titah baginda dijangka bermula pada 10 pagi, dengan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang serentak.


Sebelum itu, seramai 950 individu terdiri daripada Ahli Parlimen, Senator, warga kerja Parlimen serta petugas media yang dijadual berada di bangunan Parlimen semasa persidangan sehari penggal ketiga Parlimen ke-14 sudah menjalani ujian saringan Covid-19 secara berperingkat mulai 13 Mei bagi memastikan mereka yang hadir bebas wabak itu.
Seramai 220 daripada 222 Ahli Parlimen disahkan negatif Covid-19 sekali gus membolehkan mereka menghadiri persidangan hari ini, manakala dua lagi sedang dikuarantinkan kerana mempunyai kontak dengan kes positif Covid-19.
Pertemuan 222 Ahli Parlimen itu asalnya dijadual pada 9 Mac sehingga 16 April lalu, namun ditangguhkan kepada persidangan sehari pada 18 Mei berikutan penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan.
Persidangan sehari Dewan Rakyat itu selari dengan Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa dewan hendaklah bersidang tidak lebih dari enam bulan selepas sidang terakhirnya.
Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-14 ditangguh pada 5 Disember tahun lalu, selepas 36 hari bersidang bermula 7 Oktober 2019.

-Harian Metro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.