Wow!!! Kerajaan Kedah Umumkan Pemberian Khas RM2,000 Kepada Kakitangan Awam



ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengumumkan pemberian khas RM2,000 kepada kakitangan awam di Kedah, membabitkan peruntukan keseluruhan RM14 juta sebagai menghargai usaha dan tugas mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, mengumumkan perkhabaran itu ketika membentangkan Bajet Kedah 2018 sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.
"Pemberian khas itu akan dibayar dua kali iaitu RM1,000 pada Disember ini untuk membantu menyediakan kelengkapan persekolahan anak kakitangan awam, manakala baki dibayar menjelang Aidilfitri untuk membantu mereka dalam persiapan hari raya," katanya.
Terdahulu, beliau turut mengumumkan beberapa berita gembira dalam usaha memperkasa aspek kebajikan rakyat melalui agenda peduli rakyat.
Antaranya membabitkan bantuan am bagi penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dinaikkan daripada RM150 sebulan kepada RM200 yang membawa faedah kepada 4,000 penerima merangkumi orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan fakir miskin, membabitkan pembiayaan keseluruhan RM2.5 juta.
Katanya, bantuan segera bagi banjir dan bencana alam dinaikkan daripada RM100 kepada RM200, manakala 30,000 pelajar Tahun Satu yang akan memasuki persekolahan sesi 2018 bakal menerima manfaat melalui Dana Warisan Pendidikan Anak Kedah.
Ia membabitkan bantuan RM100 yang akan dibayar dalam bentuk simpanan di Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).
"Pemberian sagu hati kepada setiap jemaah haji Kedah dengan nilai RM500 akan diteruskan musim depan, manakala insentif guru kampung dan guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) dinaikkan daripada RM450 sebulan kepada RM600 membabitkan peruntukan RM2.6 juta.
"Aspek pengangkutan awam yang efektif kepada masyarakat akan diperkasa, dengan perkhidmatan bas Rapid dan Mybas diperluas dan ditambah rangkaian operasi laluan serta bilangan bas," katanya.
Dalam aspek pembangunan potensi modal insan, Ahmad Bashah berkata, sejumlah RM4 juta disalurkan bagi menaik taraf Maktab Mahmud dan Maahad Tahfiz Sains Kedah.
Katanya, kerajaan negeri meneruskan pemberian dana pengurusan RM2,000 sebulan kepada 11 pondok yang bernaung di bawah Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia.
"Bagi 20 pondok dan 64 maahad tahfiz berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Kedah, dana khas bersifat sekali gus diperuntukkan dengan setiap satu menerima RM10,000 membabitkan biaya keseluruhan RM840,000.
"Geran berdasarkan bilangan pelajar di sekolah agama rakyat (SAR) berjumlah RM1.7 juta diteruskan manakala dana tambahan disediakan bagi pembelian kitab kepada seluruh pondok dan maahad tahfiz di Kedah.
"Dalam memperkasa institusi masjid, elaun bulanan imam dinaikkan darioada RM800 kepada RM1,200, elaun bilal RM750 kepada RM900 sebulan dan elaun siak RM475 sebulan kepada RM700 sebulan," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.