TERBARU.. Dedah Audit 1MDB: Mahkamah Tinggi KEKALKAN Hukuman Penjara 18 Bulan Terhadap YB Rafizi




KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 18 bulan terhadap Anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli yang didapati bersalah mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Mohd Rafizi yang juga Naib Presiden PKR, terhadap sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan pada 14 Nov 2016.

Azman bagaimanapun melepaskan dan membebaskan Mohd Rafizi, 40, daripada sabitan dan hukuman penjara 18 bulan bagi pertuduhan memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Dalam penghakimannya hakim itu berkata, hukuman 18 bulan yang dijatuhkan tidak terlalu berat selepas mengambil kira hukuman minimum bagi kesalahan itu ialah kurang daripada satu tahun dan maksimum tujuh tahun.

Azman turut membenarkan permohonan Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Mohd Rafizi untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan kes berkenaan di Mahkamah Rayuan selesaidan mengekalkan jaminan RM20,000.

Mengikut peruntukan undang-undang Mohd Rafizi akan hilang kelayakan untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum kerana seseorang yang telah disabitkan dan dihukum denda RM2,000 atau penjara lebih setahun tidak boleh menjadi calon.

Pada 14 Nov 2016, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Mohd Rafizi yang menghadapi dua pertuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.

Mahkamah Sesyen mendapati Mohd Rafizi bersalah memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac 2016, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun.

Mohd Rafizi, turut didapati bersalah mendedahkan kandungan laporan itu dalam sidang media di tempat dan masa sama pada 28 Mac 2016, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama juga membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas.


-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.