Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari bagi umat Islam. Justeru
itu, ramai yang mengambil peluang ini dengan bersedekah sambil beribadah pada
hari Jumaat seperti apa yang dilakukan oleh Ahli jawatankuasa (AJK) Masjid
Maasumiah, Sabak Bernam yang bersedekah nasi lemak setiap hari Jumaat.
Program yang baru dilaksanakan pada Jumaat lepas dibuat di hadapan
Masjid Maasumiah untuk penduduk Kampung Sungai Tengar Utara, Sungai Air Tawar.
Malah, puluhan bungkus nasi lemak percuma itu habis dalam tempoh yang singkat
selepas diletakkan pada pukul 7.30 pagi.
AJK masjid, Mohd Hafizuddin Md Sahar, 32 tahun, berkata bahawa
program itu bertujuan untuk membantu orang yang tidak berkemampuan serta
penduduk setempat yang tidak sempat bersarapan kerana terpaksa mula kerja awal.
“Melalui program seumpama ini, ia mengukuhkan lagi silaturahim
antara AJK masjid dengan penduduk setempat, sekali gus menggalakkan tuntutan
solat berjemaah,” katanya.
“Masjid ini dipilih sebagai lokasi mengagihkan nasi lemak kerana ia
berada di laluan utama penduduk,” sambungnya.
Menurutnya, pihak masjid turut berbesar hati jika ada pihak yang
sudi menyumbang ikhlas untuk menyokong program berkenaan.
“Jumaat dipilih kerana ramai penduduk melalui laluan berkenaan,
selain hari mulia bagi umat Islam,” tambahnya sebelum mengakhiri perbualan.
Semoga pihak yang menganjurkan program murni ini diberikan rezeki
luas supaya dapat membantu lebih ramai yang memerlukan melalui program
sebegini.
0 comments:
Post a Comment