Kompleks PAS Kota Sarang Semut
menjadi saksi mata akan perjalanan sebuah harakatul ummah yang sentiasa menjadi
bualan hangat warga negara ini. Kompleks yang berdiri diatas tanah seluas 17
ekar ini menampung puluhan ribu perwakilan dan pemerhati yang datang daripada
seluruh negara, dengan beragam latarbelakang dan status sosial.
Kedah semenjak tertubuhnya PAS di
negeri itu 65 tahun yang lepas telah empat kali menjadi tuan rumah Muktamar PAS
Pusat. Muktamar pada kali ini paling menjadi buruan lensa wartawan dan juga
pencandu-pencandu politik kerana tragedi ribut dan juga keributan dalam
hubungan pemuafakatan politiknya dengan parti yang muncul dengan bantahan awam
akibat kezaliman regim Mahathir pada tahun 1998. Media sosial juga bukan
kepalang sibuknya bergentayangan dengan memaparkan berita-berita PAS samada
positif ataupun negatif.
<--more-->Tak mudah bagi teman-teman
pimpinan dan aktivis Kedah untuk menguruskan program tahunan skala besar ini.
Khabarnya berbulan-bulan persiapan rapi dibuat termasuk mengejar masa
mendirikan bangunan utama kompleks yang bernilai jutaan ringgit. Urusan
kemuncak iaitu sepanjang lima hari ini adalah saat yang kritikal termasuk pasca
tragedi ribut yang mencederakan 18 orang pengunjung dan peniaga. Jabatan Amal,
PAPISMA, Briged Muslimat dan pelbagai berjaya menguruskan krisis dan bencana
dengan sangat teratur. --more-->
Namun di sebalik kepenatan
panitia Muktamar, terserlah kehebatan sikap orang Kedah sehingga dibualkan oleh
warga bukan Kedah. Mereka sangat memuliakan tetamu, hadirlah di teratak mereka,
pasti kalian dijamu makan sekenyangnya samada dengan nasi atau pulut tanak.
Ruang rumah mereka boleh di parkir kereta bahkan sehingga menawarkan garaj
peribadi mereka sendiri.
Saya terdetik rasa terharu
melihat seorang pimpinan Dewan Ulama Kedah, Ustaz Fauzi Husain yang menyantuni
sehingga hampir 200 orang tetamu selama lima hari, silih berganti. Kompleks
pendidikannya padat dengan tetamu seolah seperti ijtimak tarbawi sedang
berlangsung, setiap hari bermula dengan kuliah subuh. Manakala isterinya
bangkit seawal 4.00 pagi, dibantu oleh anak-anak buahnya memasak makanan untuk
sarapan tetamu-tetamu.
Menoleh pula ke arah Dr
Fakharuddin, Pesuruhjaya PAS kedah yang juga Pengarah Muktamar. Guratan
wajahnya sangat lelah, tidurnya sangat minima dengan dua telefon bimbit diatas
mejanya. Berselang seli menyambut panggilan telefon dan memberikan arahan pada
anak-anak buah, wajahnya kelihatan serius dengan sesekali melepaskan pandangan
pada ribuan perwakilan di dalam Dewan Fadhil Noor.
Haji Sanusi, Timbalan Pesuruhjaya
Kedah pada hari kedua muktamar menyandar pada dinding ke lorong tandas Dewan
Muktamar. Dia menghela nafas panjang, hari kedua operasi pembersihan gerai yang
dilanda taufan. Segalanya perlu ditanggani dengan baik, PAS setiap malam
menjadi tajuk utama berita dan menjadi bualan rakyat.
Briged Jeneral (B) Dato Najmi
Ahmad, seorang lagi Timbalan PJ PAS Kedah tersenyum di hadapan pintu masuk
Dewan Utama Muktamar, menyalami tetamu-tetamu seawal pagi pada hari Muktamar.
Sesekali mantan Pengarah Kagat ATM ini melihat ke arah bumbung bangunan utama
kompleks PAS Kedah yang masih belum disiapkan dan memerlukan dana yang lumayan.
Sepanjang lima hari ini
anggota-anggota Jabatan Amal adalah insan yang paling sibuk bertugas tanpa
mengira malam atau siang. Wira-wira yang tak didendang ini disimbah hujan,
disengat mentari mengawal trafik, mengawal ketertiban pengunjung, menjaga
keselamatan dan menguruskan peristiwa luar jangka yang berlaku.
Pada hari terakhir muktamar,
jumlah pengunjung tetap tidak berkurang. Tekun mereka mendengar ucapan
penggulungan, sesekali dengan deraian tawa di tengah keseriusan mengunyah dan
menghadam maklumat. Apabila tampil Pengerusi Pemilihan, Dato Wan Mutalib Embong
dengan diiringi Dr Supyan dan Peguam Wan Rohimi ke rostrum suasana mula
berubah. Debaran perwakilan dan pemerhati berakhir dengan pengumuman barisan
Naib Presiden serta Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat.
Siapapun yang menang atau tidak
terpilih, harakatul ummah ini mestilah terus dipacu dengan gemilang. PAS adalah
harapan ummah, benteng kukuh untuk menjaga deenullah di tanah leluhur ini.
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
(Penulis ialah AJK PAS Pusat,
aktivis bantuan kemanusiaan tanpa sempadan)
0 comments:
Post a Comment