ADUH!!! Kedah Gagal Rangkul Juara Piala Malaysia, Tewas Kepada Selangor 2-0.. Jom Terjah!!!




SHAH ALAM: Selangor melengkapkan 'Misi 33' dengan sentuhan Ahmad Hazwan Bakri untuk merangkul Piala Malaysia 2015 selepas mengalahkan Kedah 2-0 pada aksi final di Stadium Shah Alam di sini, Sabtu malam.

Ahmad Hazwan menampilkan kemampuan sebenar sebagai penyerang skuad Gergasi Merah apabila menyumbang dua gol seawal minit ketiga dan minit ke-47 bagi menamat penantian selama 10 tahun serta gelaran ke-33 dalam sejarah bola sepakberprestij itu.


Lebih manis, kejayaan skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu merupakan  hadiah paling bermaksa untuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyambut ulang tahun keputeraan baginda ke-70 pada Jumaat.


Selangor, yang memiliki sejarah tersendiri dalam kempen Piala Malaysia, meraih gelaran sulung itu pada 1922 dan malam ini merupakan kali ke-33 pasukan itu memahat nama dalam trofi paling berprestij dalam kempen Liga Malaysia.


Kedah, selaku juara liga Perdana musim ini, muncul juara Piala Malaysia sebanyak empat kali pada 1980, 1993, 2007 dan 2008.


Pada perlawanan dalam keadaan hujan renyai nyata tidak menghampakan lebih 80,000 penonton apabila kedua-dua pasukan memperagakan permainan pantas dengan semangat jitu sebaik sahaja wisel permulaan ditiup oleh pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin.


Gerakan teratur dan pantas skuad Gergasi Merah memerangkap benteng perlawanan lawan apabila Ahmad Hazwan menyempurnakan hantaran Guilherme De Paula dengan jaringan awal.


Tersentak dengan gol tersebut, Kedah kembali memperkemaskan jentera serangan untuk memburu gol penyamaan dan hampir menyamakan kedudukan namun percubaan pemain import dari Albania, Liridon Krasniqi pada minit ke-24, sedikit melepasi pintu gol sebelah kanan Selangor.


Sebaik sahaja babak kedua bermula, Selangor menghukum Kedah dengan rembatan kencang Ahmad Hazwan yang tepat menerjah penjuru kanan gol lawan,sekali gus memaksa perlawanan bertambah rancak.


Biarpun ketinggalan, Kedah enggan mengaku kalah malah memperkemaskan jentera serangan untuk melancarkan serangan namun hanya dikecewakan dengan kekebalan benteng pertahanan Selangor.


Nasib Kedah bertambah malang apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah penjaga gol, Mohd Firdaus Muhamad dilayangkan kad merah oleh pengadil pada minit ke-84.


Mohd Firdaus dikenakan tindakan drastik tujuh minit sebelum perlawanan tamat selepas dikatakan menampan bola di luar kotak penalti sewaktu cuba menghalang percubaan pemain gantian Selangor, S. Veenod.


Ahmad Hazwan turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan final ini. 

Selaku juara, Selangor membawa pulang Piala Malaysia yang disampaikan oleh adinda Sultan Selangor, Tengku Ahmad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, yang mewakili Sultan Selangor, kepada kapten pasukan, Muhd Shahrom Abdul Kalam.


Perlawanan final itu turut disaksikan oleh Tunku Laksamana Kedah,Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah,  yang merupakan Ahli JemaahPemangku Sultan Kedah, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathirdan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 


- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.