Selepas titah raja-raja berkaitan isu 1MDB, kerajaan berkata desakan untuk mempercepat atau melewatkan sebarang siasatan kepada mana-mana pihak tidak harus berlaku.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata segala titah raja-raja dinilai baik dan kerajaan telah mengambil langkah proaktif menangani isu yang dititah.
“Sememangnya kesejahteraan rakyat dan kedaulatan undang-undang harus diberi keutamaan dalam apa jua keputusan dan kenyataan oleh semua pihak.
“Justeru segala siasatan kepada mana-mana pihak sekalipun harus berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, malah desakan untuk mempercepat atau melewatkan sebarang siasatan kepada mana-mana pihak tidak patut berlaku,” katanya.
Pada Selasa, Majlis Raja-Raja Melayu bertitah supaya kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat.
Baginda sekalian juga menegaskan semua pihak perlu bertanggungjawab memberi kerjasama sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.
Pelan pengurangan hutang
Dalam kenyataan hari ini, Zahid berkata kerajaan komited mendukung konsep pemisahan kuasa dan oleh itu setiap organ kerajaan perlu dibenarkan berfungsi seperti dijelaskan perlembagaan.
Mengulas siasatan dijalankan, beliau berkata segala maklumat tentang siasatan dilakukan secara adil dan terbuka dan tindakan akan diambil jika ada pihak didapati bersalah.
“Kita sedia maklum bahawa pihak kerajaan sedang dalam proses menjayakan pelan pengurangan hutang bagi syarikat 1MDB.
“Pelan ini disambut baik oleh pelbagai pihak pelabur dari dalam dan luar negara.
"Pihak kerajkaan akan membentangkan pada masa terdekat segala transaksi pengurangan hutang 1MDB melalui pelaburan kepada aset syarikat tersebut,” katanya.
Menegaskan kerajaan mengambil berat dan menghormati titah raja-raja, beliau berkata segala usaha sedang dijalankan bagi memastikan isu ekonomi, ringgit dan keharmonian kaum diselesaikan pada masa terdekat.
“Diharapkan tidak ada pihak yang menangguk di air yang keruh dan mengeluarkan kenyataan seolah-olah kerajaan tidak berbuat sebarang usaha untuk mendepani semua isu yang dipolemikkan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment