Selepas sekian lama menyimpan hasrat, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menyertai DAP hari ini bagi meneruskan usaha mendekati rakyat. Ahli DAP baharu yang mesra dengan panggilan Pak Samad itu turut diangkat sebagai “Perwira Ubah” oleh penasihat parti Lim Kit Siang.
"Mereka menganggap tindakan ini akan mencederakan imej sasterawan negara, tetapi bagi saya ia tidak menjadi masalah kerana setiap tindakan pasti ada pro dan kontranya," Samad dilaporkan sebagai berkata. Pak Samad berkata sudah lama menyimpan hasrat untuk menyertai DAP namun tidak pernah dizahirkan walaupun ada golongan yang berasa kurang senang.
Ketika ditanya The Malaysian Insider mengapa menyertai DAP dan bukannya PKR atau pun PAS, Samad berkata salah satu sebabnya adalah parti sekular itu lebih mewakili rakyat Malaysia.
Katanya, DAP sudah mula menunjukkan kemesraan kepada orang Melayu namun gambaran media sering memberi gambaran sebaliknya.
“Saya fikir mula mesra tetapi biasanya gambaran media yang merosakkan. Kalau kita lihat interaksi pimpinannya, individu yang mewakilinya, ia sangat merangsang bagi saya.
“Saya mahu memberi sumbangan kepada kesejahteraan dan kebahagiaan yang sedapat boleh,” katanya.
Samad berkata apa yang berlaku kepada Pakatan Rakyat (PR) kini membimbangkan namun beliau perlu meneliti keadaan semasa sebelum dapat memberikan pandangan lanjut.
Ditanya, adakah wujud kebimbangan statusnya sebagai sasterawan negara tetapi menyertai DAP, Samad berkata, “Langsung tak takut.”
Penyertaan tokoh sasterawan negara itu dilihat sebagai usaha membantu DAP menarik lebih ramai penyokong Melayu, memandangkan parti itu sebelum ini menjadi bahan belasahan PAS dan Umno apabila dilabelkan sebagai anti Islam dan Melayu.
Samad, 80, bekas pengarang akhbar Berita Harian dan The New Straits Times memulakan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang menentang Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2009.
Beliau juga sering dilihat aktif menyertai himpunan dan demonstrasi anjuran PR dan badan bukan kerajaan, memimpin Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) bagi menuntut reformasi pilihan raya. – TMI
0 comments:
Post a Comment