(Gambar) Cerita Kassim Ahmad Cabar Tindakan JAIS Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.. Jom Terjah!!!

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman aktivis sosial dan politik, Kassim Ahmad yang mencabar tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana mendakwanya atas tuduhan menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama Islam tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Asmabi Ahmad dalam keputusannya berpendapat bahawa Mahkamah Syariah yang mempunyai kuasa semakan kehakiman berhubung permohonan itu.
Beliau berpendapat, mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan itu dan perkara berkenaan juga terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.
Pada 26 Jun tahun lalu, Kassim, 82, memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah membatalkan keputusan Ketua Pendakwa Syarie pada 27 Mac 2014 yang mendakwanya atas dua pertuduhan, iaitu menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya.
Kassim selaku pihak pemohon menamakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Ibrahim Deris; Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan kerajaan Malaysia sebagai pihak responden.
Kassim turut memohon supaya prosiding kesnya di Mahkamah Tinggi Syariah digantung sehingga permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman itu diputuskan.
Selain itu, Kassim memohon suatu perintah membatalkan tindakan dan keputusan pegawai penguatkuasa Jawi yang menyerbu, menggeledah dan menyita bahan terbitannya, memeriksa, menahan, menangkap dan mengeluarkannya dari Kedah serta membawanya ke Wilayah Persekutuan.
Beliau juga mahu suatu perintah membatalkan apa jua waran tangkap, geledah, sita dan bon yang dikenakan terhadapnya.
Kassim turut memohon suatu pengisytiharan, tindakan pencerobohan pegawai Jawi dan pendakwaan terhadapnya adalah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Akta Syariah Wilayah Persekutuan dan Enakmen Syariah Negeri Kedah.
Beliau memohon pengisytiharan, kesalahan melanggar fatwa Wilayah Persekutuan hanya terpakai kepada pemastautin di Wilayah Persekutuan sahaja.
Kassim hadir ke mahkamah dalam keadaan bertongkat diwakili peguam Rosli Dahalan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.