Seorang penduduk cuba mengambil barang melalui bumbung rumahnya yang hampir ditenggelami banjir di Kampung Tiong, Gua Musang, semalam. - Foto Bernama
PASIR PUTEH - Seorang jururawat masyarakat yang bertugas di Klinik Desa Kampung Star, Bertam Baru, Gua Musang, menceritakan bagaimana 150 penduduk di situ, kelaparan dan menempuh detik cemas setelah terperangkap selama enam hari apabila kampung mereka seakan-akan 'sebuah pulau' akibat banjir, bermula Isnin lepas.
Suzana Bakar, 49, berkata mereka menyelamatkan diri mencari tempat perlindungan di Sekolah Kebangsaan Star, Bertam Baru dengan sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan harta benda selepas air dari Sungai Nenggeri naik mendadak ke kawasan kampung mereka.
"Ini disebabkan kami tidak menyangka air naik secara mendadak kerana sebelum ini tidak pernah berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Suzana bagaimanapun berkata pada hari Selasa lepas, makanan terutama beras tiba dengan jumlah sedikit setelah diusahakan pemimpin setempat serta belas ihsan daripada orang kampung yang tinggal di kawasan tinggi.
"Sebaik makanan tiba di sekolah itu mereka berebut-rebut mendapatkan makanan yang tidak mencukupi kerana jumlah mangsa banjir yang datang ke pusat itu bertambah setiap hari," katanya.
Suzana berkata untuk mendapatkan bekalan makanan dari luar terutama di Gua Musang terlalu sukar kerana tidak boleh dilalui sebarang kenderaan berikutan arus yang sangat deras.
Beliau berkata sepanjang berada di sekolah itu, sebahagian besar mangsa memakan apa sahaja seperti biskut dan mi segera bagi mengalas perut untuk mengelak daripada kebuluran dan sepanjang malam pula terpaksa bergelap akibat bekalan elektrik terputus.
Bagaimanapun, Suzana bersyukur kerana ketika kejadian beliau dan empat anak masing-masing berumur antara tiga dan 14 tahun, sempat menyelamatkan diri ke sekolah berkenaan lebih awal apabila menyedari paras air semakin meningkat ke paras paha dalam tempoh beberapa minit.
Ketika kejadian suaminya Raibi Hamid, 39, tiada di rumah kerana bekerja di Kuala Lumpur.
"Sebuah kereta Proton Wira dan motosikal serta peralatan elektrik kesemuanya tidak sempat diselamatkan apabila paras air meningkat terlalu cepat sehingga menenggelamkan sebahagian 50 buah rumah penduduk di situ," katanya.
Suzana berkata ketika berada di sekolah itu mereka terpaksa tinggal di tingkat tiga kerana tingkat pertama dan kedua dinaiki air, sebelum surut sepenuhnya, semalam.
- Bernama
0 comments:
Post a Comment