PETALING JAYA: Langkah Interpol mengeluarkan waran tangkap terhadap cendekiawan Islam terkenal, Dr Yusuf Al-Qaradawi kerana dikatakan terbabit dengan kegiatan kumpulan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan Mesir sewajarnya perlu mendapat perhatian dan tindakan segera pemimpin dunia.
Berdasarkan laporan sebelum ini, notis merah terhadap Yusuf, 88, sudah dikeluarkan awal bulan ini bagi membolehkan pihak berkuasa kehakiman Mesir mendakwa dan menghukum tokoh terkemuka warga Mesir dan Qatar itu.
Tindakan Interpol itu antaranya kerana beliau dituduh menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara, selain aktiviti vendalisme dan kecurian.
Mengambil maklum pentingnya peranan Yusuf terhadap dunia Islam, Yayasan Rights tampil mempertahankan tokoh itu yang disifatkan sebagai simbol suara demokrasi ulung yang berusaha keras membentuk dunia yang demokratik terutama di timur tengah.
Pengerusi Yayasan Rights, Yusmadi Yusoff berkata, pemimpin dunia terutama negara Islam perlu bangkit membantah permohonan waran tersebut.
"Malaysia perlu segera mengusulkan bantahan terhadap kerajaan Mesir untuk menarik balik waran terhadap Pengerusi Majlis Ulama Sedunia itu.
"Permintaan kerajaan regim zalim Mesir perlu dibantah, lebih-lebih lagi ia melibatkan Dr Yusuf Al-Qaradawi yang sentiasa membawa suara kesederhanaan Islam," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.
Kata Yusmadi lagi, tuntutan ini penting ketika dunia kekurangan tokoh untuk berdepan perlakuan ekstremisme agama yang mencabar seperi militan Negara Islam dan Syria (ISIS).
Tegasnya lagi, ia juga seiring dengan suara tegas dan lantang Yusuf menolak pendekatan pelampau agama selama ini.
"Oleh itu, mempertahankan Dr Yusuf Al-Qaradawi daripada dizalimi regim Mesir adalah sama seperti kita melakukan tanggungjawab untuk mempertahankan suara kesederhanaan warga dunia menentang regim tidak demokratik," katanya.
Malahan, katanya, hak Yusuf untuk mendapat tempat perlindungan yang selamat adalah hak asasi manusianya yang perlu dipertahankan dan ia adalah tanggungjawab semua warga dunia.
0 comments:
Post a Comment