SYDNEY: Dua tebusan dan seorang lelaki bersenjata kelahiran Iran terbunuh apabila polis Australia menyerbu masuk ke dalam sebuah kafe bagi menamatkan pengepungan lebih 16 jam apabila suspek menawan 17 orang sebagai tebusan.
Polis berpakaian pasukan SWAT membaling bom tangan dan melepaskan tembakan, mengakibatkan kedengaran bunyi bising tembakan dan percikan di kafe berkenaan terletak di tengah bandar terbesar di Australia itu selepas sejumlah kakitangan dan pelanggan berjaya melarikan diri.
Pesuruhjaya Polis New South Wales, Andrew Scipione berkata, polis bertindak selepas berbalas tembakan dengan suspek berusia 50 tahun itu dan berjaya dibunuh.
Seorang lelaki berusia 34 tahun dan seorang wanita, 38, turut diumumkan terkorban selepas dibawa ke hospital.
"Perbuatan ini adalah tindakan seorang individu. Kejadian ini tidak sepatutnya menghapuskan atau mengubah cara hidup kita," katanya.
Sehubungan itu, wartawan Channel Seven, Chris Reason yang pejabatnya bertentangan dengan kafe itu berkata, satu panggilan daripada rangkaian komunikasi polis memberitahu "tebusan kecundang" sekali gus menyebabkan anggota polis menyerbu masuk ke bangunan itu tanpa sebarang amaran.
Hospital Royal North Shore merawat seorang anggota polis berusia 39 tahun dengan kesan tembakan di bahagian pipi manakala seorang wanita lingkungan 40-an dalam keadaan parah tetapi stabil selepas terkena tembakan di bahagian kaki dan seorang lagi wanita mengalami sakit belakang.
Sebuah robot bom dihantar ke dalam bangunan ketika polis mengumumkan pengepungan itu sudah berakhir dan kakitangan perubatan memberikan rawatan kepada tebusan tetapi tiada bahan letupan ditemui.
Stesen televisyen ABC dan media lain memberitahu suspek yang pada mulanya mengibarkan bendera terpapar tulisan Arab dikenali sebagai lelaki kelahiran Iran, Man Haron Monis yang berusia 49 tahun.
Mereka menyiarkan gambar suspek yang berjambang dan memakai serban. - AP
0 comments:
Post a Comment