Allahu Rabbi!!! (Gambar) Susulan Kejadian Letupan BOM di Bukit Bintang, Seorang Disahkan Mati... Jom Terjah!!!

Letupan bom di Bkt Bintang: Kejadian melibatkan lebih seorang pelaku - Polis

KUALA LUMPUR: Polis percaya kejadian letupan bom di Bukit Bintang awal pagi tadi membabitkan lebih daripada seorang pelaku.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng turut mengesahkan bahawa sasaran ditujukan kepada individu tertentu.

Dalam kejadian awal pagi tadi, seorang mangsa insiden letupan bom di kawasan Bukit Bintang dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).




Sumber polis berkata mangsa yang meninggal dunia ialah pekerja joki kereta, Tiong Kwang Yie, yang cedera parah dalam kejadian tersebut.

Ketua Jabatan Kecemasan HKL, Datuk Dr Abu Hassan Asaari Abdullah berkata, senarai penuh mangsa insiden bom yang dihantar ke HKL masih belum dapat disahkan kerana beberapa maklumat masih belum diperoleh.

"Seorang mangsa yang kritikal sudah meninggal dunia, kita masih menguruskan maklumat mangsa-mangsa yang ada di sini.

"Kita akan memberikan maklumat susulan sebaik sahaja mendapat pengesahan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Seramai 14 orang cedera dalam insiden letupan bom di sebuah bangunan di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur kira-kira jam 4.00 pagi.

Tinjauan di tempat kejadian mendapati lokasi terbabit ditutup kepada orang awam bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

Terdapat empat kenderaan diletakkan di hadapan kelab malam tersebut iaitu masing-masing sebuah Toyota Alphard, Mazda, BMW dan Toyota Camry.

Alphard berkenaan tertanggal bampar hadapannya akibat letupan itu dan kelihatan tompok-tompok hitam di atas jalan berhampiran kenderaan tersebut termasuk serpihan kaca.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa ketika dihubungi berkata sebanyak dua bom dilemparkan dari aras dua tempat letak kereta bangunan berdekatan dalam kejadian kira-kira 4.20 pagi itu, laporBernama.

"Suspek dipercayai membalingkan bom dari tingkat atas bangunan. Satu daripada bom itu meletup di hadapan kelab malam. Satu lagi tidak meletup dan berada di bawah kereta Toyota Camry, yang terletak berhadapan kelab malam tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bom kedua tersebut berjaya diletupkan Unit Pemusnah Bom Polis pada jam 12.30 tengah hari.

Mangsa kejadian berusia di antara 20 hingga 42 tahun, dua daripadanya wanita.

Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang (tiga mangsa) dan Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Ampang (dua mangsa).

Setakat ini, 12 mangsa yang sedang dirawat terdiri daripada dua warga China, satu Singapura, satu Thailand, manakala selebihnya adalah warga tempatan.

Terdahulu, tujuh daripada mereka - enam lelaki, satu wanita - telah dihantar ke hospital swasta Tung Shin sebelum dipindahkan ke HKL sekitar jam 6.30 pagi.

Terkini, dua mangsa yang menjalani rawatan resusitasi di HKL telah dipindahkan ke wad biasa.

Pihak polis masih menyiasat motif kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata dan 307 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata masih terlalu awal untuk mengaitkan kejadian letupan bom di Bukit Bintang dengan kegiatan pengganas.

Ahmad Zahid meminta masyarakat agar bertenang ekoran kejadian letupan bom yang meragut satu nyawa dan mencederakan 13 yang lain di Bukit Bintang awal pagi tadi.

Beliau berkata pihak polis sedang menyiasat insiden berkenaan dan akan memaklumkan perkembangan terkini.

"Saya akan minta pihak PDRM mengeluarkan kenyataan mengenainya apabila bukti konklusif dan penyiasatan telah dijalankan," katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu di sini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui di bangunan Parlimen berkata insiden itu mungkin berpunca daripada persaingan dalam perniagaan.

Walaubagaimanapun, beliau tidak dapat memberikan apa-apa maklumat kerana penyiasatan polis masih berjalan.

“Oleh kerana ini baru beberapa jam sejak kejadian berlaku, jadi belum dapat apa-apa maklumat mengenai apakah motif, apakah tujuan, siapakah yang melakukannya dan sama ada yang melakukannya adalah orang tempatan atau orang asing.

“Tidak semua maklumat boleh didedahkan sehingga maklumat yang pasti dan sahih didapati selepas penyiasatan,” katanya.

Namun, beliau memberi jaminan bahawa  pihak polis akan ambil tindakan dan orang yang terlibat tidak boleh terlepas daripada menerima hukuman. 

Beliau turut menyampaikan rasa simpati kepada mereka yang cedera di dalam letupan itu.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.