SUBANG JAYA: Pelakon Along Eyzendy menjelaskan dia merupakan antara individu yang ditahan dalam serbuan Ops Cantas Khas, Polis Dang Wangi di sebuah premis hiburan di Jalan P. Ramlee, dekat sini, pada 20 April lalu.
Bagaimanapun, Along memberitahu dia tidak terlibat dengan sebarang aktiviti sosial termasuk dadah dan telah dilepaskan oleh pihak berkuasa selepas mendapati ujian air kencingnya adalah negatif.
Along atau nama sebenarnya Eyzendy Aziz, 35, berkata, dia berada di lokasi kejadian untuk menemani seorang rakan yang merupakan pembantu produksi bagi mencari tempat yang sesuai untuk menjalankan penggambaran drama.
"Saya berada di kelab malam itu adalah bagi menemani seorang rakan untuk mencari tempat penggambaran sebuah drama. Dia sengaja membawa saya bagi memudahkan urusan dengan pihak kelab tersebut kerana saya seorang artis.
"Bila berlaku serbuan pada malam itu, saya turut ditahan bersama pengunjung kelab malam yang lain dan sampel air kencing kami diambil bagi memastikan sama ada terdapat atau tidak dadah dalam badan. Alhamdulillah saya lepas dengan dua ujian yang dilakukan," ujarnya ketika ditemui mStar Online, pada previu telefilem Kem Cuci Tangandi sini, pada Selasa.
Along berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhir sebelum ini mengenai seorang pelakon lelaki berusia 35 tahun ditahan bersama 41 individu dalam Ops Cantas Khas Polis Daerah Dang Wangi, di sebuah premis hiburan di Jalan P.Ramlee, Kuala Lumpur.
Turut ditahan bersama pelakon itu adalah sekumpulan 20 wanita warga asing yang dipercayai terbabit dalam aktiviti sosial.
Dalam pada itu, Along mengakui enggan memberi sebarang komen berkaitan perkara ini ketika dihubungi pihak media adalah bagi mengelakkan perkara tersebut menjadi lebih panjang.
"Saya baca di blog-blog yang menulis berita tentang itu, ada yang menambah-nambah hingga mendakwa saya terlibat dengan gejala tidak bermoral itu. Saya bukan kaki kelab malam, saya hanya pergi atas urusan tertentu sahaja.
"Saya tidak mahu komen kerana saya tidak mahu orang cakap tentang perkara ini, lagi pula ia tidak ada sebarang kes pun terhadap saya," ujarnya.
Along bersama barisan pelakon utama dalam telefilem Kem Cuci Tangan.
Sementara itu, Along berkata, biarpun perkara tersebut tidak menjejaskan kerjayanya sebagai pelakon, namun ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap keluarganya di kampung.
Katanya, ibu antara orang yang paling bimbang apabila mendapat tahu tentang berita tersebut.
"Keluarga mana yang tidak marah jika perkara tersebut terjadi kepada ahli keluarga mereka. Saya sudah beritahu apa yang berlaku pada malam itu.
"Alhamdulillah mereka memahami kerjaya saya dan lumrah kehidupan sebagai artis yang mudah terdedah dengan berita negatif," ujarnya.
-MStar
0 comments:
Post a Comment