Jerman mengulangi kejayaan 1990 untuk bergelar juara buat kali keempat apabila mengalahkan Argentina 1-0 menerusi jaringan Mario Gotze pada minit ke-113.
Pasukan paling menyerlah sepanjang kejohanan ini bagaimanapun sukar mengulangi rentak ketika membelasah Brazil 7-1, namun pasukan bimbingan Joachim Low itu menemui sentuhan penyudah di masa tambahan untuk menghancurkan harapan Albiceleste. Buat pertama kali Argentina menampilkan permainan hebat dalam kejohanan, namun terpaksa menelan kekecewaan sungguhpun memiliki peluang lebih baik sepanjang permainan.
Gonzalo Higuain melepaskan peluang berharga dalam pertengahan separuh masa pertama apabila sekadar merembat liar. Dia bagaimanapun hampir menebus kesilapannya, namun golnya dibatalkan akibat ofsaid.
Dalam masa tambahan, Schurrle turut menguji Romero dari jarak dekat dengan rembatan deras tetapi usahanya masih belum memadai.
Selepas itu Argentina hampir memecah kebuntuan perlawanan tetapi tindakan penyudah Rodrigo Palacio ketika berhadapan dengan Manuel Neuer mengecewakan jutaan penyokong juara dua kali itu.
Kekecewaan Lionel Messi gagal membantu Argentina merangkul Piala Dunia sedikit terubat selepas dinobat sebagai Pemain Terbaik untuk membawa pulang anugerah Bola Emas, sebentar tadi.
Ketangkasan Manuel Neuer pula melayakkan penjaga gol Jerman itu merangkul anugerah Sarung Tangan Emas selaku Penjaga Gol Terbaik Piala Dunia 2014.
Kegagalan Thomas Mueller meledak gol dalam perlawanan akhir di Stadium Maracana membolehkan bintang muda Colombia, James Rodriguez menerima anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak dengan enam gol.
0 comments:
Post a Comment