NEW DELHI – Pasukan badminton lelaki negara mempamerkan persembahan hebat dengan kelas tersendiri ketika menumpaskan Indonesia 3-0 dalam saingan separuh akhir Piala Thomas.
Kemenangan manis itu membawa Malaysia melangkah ke perlawanan akhir untuk menentang Jepun yang terdahulu mencipta kejutan menumbangkan China dalam perlawanan separuh akhir pada sebelah petang.
Keputusan itu juga menyaksikan Malaysia melepasi sasaran awal layak ke separuh akhir, namun barisan pemain badminton negara berjaya membuktikan mereka jauh lebih baik daripada jangkaan ramai.
Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei memainkan peranannya dengan menyempurnakan tugas mengutip mata pertama negara selepas menewaskan Tommy Sugiarto.
Perlawanan pembukaan itu berlangsung sengit pada game pertama apabila kedua-dua pemain saling kejar-mengejar mata sehinggalah pada kedudukan 19-18.
Pada waktu itu, Chong Wei menggunakan pengalaman dan kudrat yang ada untuk menamatkan game dengan kemenangan 21-19.
Menyedari kekuatan lawan, rentak perlawanan pada game kedua agak jauh berbeza.
Chong Wei dilihat lebih fokus dan tidak memberi banyak ruang dan peluang buat Tommy dan akhirnya menang selesa 21-13.
Mata kedua Malaysia pula dicatat dengan penuh dramatik menerusi pertembungan antara pasangan ‘bidan terjun’ Tan Boon Heong-Hoon Thien How menentang juara dunia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.
Turun dengan tekad lebih tinggi, Boon Heong-Thien How langsung tidak gugup pada game pertama malah mampu menyaingi kepantasan dan mematahkan kebanyakan tipu helah lawan.
Kekuatan beregu negara itu jelas terpancar apabila bangkit dari ketinggalan 18-19 untuk mencatat kemenangan 21-19 pada game pertama.
Bagaimanapun, mereka bagaikan hilang fokus dan arah apabila tewas dengan terlalu mudah pada game kedua, 8-21.
Namun mereka bangkit semula mempamerkan kekuatan yang ada untuk mencatat kemenangan 23-21 setelah menunjukkan semangat melawan yang kental.
Mata kemenangan Malaysia disumbangkan oleh pemain perseorangan kedua, Chong Wei Feng yang menewaskan Dionysius Hayom Rumbaka 21-10 dan 21-16.
Walaupun Rumbaka cuba bangkit pada set kedua hingga kedudukan terikat 16-16, Wei Feng kemudian menukar corak permainan.
Beliau akhirnya berjaya mengutip mata demi mata untuk menempah kemenangan 21-17 sekaligus mengesahkan kedudukan Malaysia di pentas akhir.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia melangkah ke perlawanan akhir Piala Thomas ialah pada 2002 namun tewas kepada Indonesia.
Kali terakhir Malaysia menjulang trofi berprestij dunia badminton itu ialah paad 1992.
0 comments:
Post a Comment