Suasana hiba menyelubungi pertemuan Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri Paul Weeks, seorang daripada tujuh warga Australia yang menaiki penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.
Air mata membasahi pipi isteri perdana menteri itu apabila Darica Weeks, 37, sebak ketika bercerita tentang suaminya.
Rosmah pantas memeluk wanita itu sambil cuba memujuknya dalam pertemuan yang turut disertai dua anak lelaki pasangan berkenaan – Lincoln, 3, dan Jack, setahun.
Dalam pertemuan selama sejam bermula pukul 10 pagi di sebuah hotel di Perth pada Khamis, Rosmah dilihat memeluk Jack.
"Kamu minum susu. Boleh beri saya sedikit?" kata Rosmah sambil mendukung anak kecil itu.
Bercakap kepada media kemudian, Rosmah berkata beliau berharap Darica akan terus tabah kerana pihak berkuasa Malaysia dan Australia serta beberapa negara lain sedang berusaha menjejaki pesawat Malaysia Airlines (MAS) tersebut.
"Saya nasihati beliau agar tabah dan ingat semua kebaikan yang dilakukan oleh suaminya dan kongsikan kenangan itu dengan anak-anak agar mereka juga memiliki kenangan indah tentang bapa mereka," kata Rosmah.
Sementara itu Darica ketika ditemui kemudian berkata beliau sedang berusaha meneruskan kehidupannya.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac, dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.
Pada 24 Mac, iaitu hari ke-17 misi pencarian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi, berdasarkan analisis data satelit Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom. – Bernama, 3 April, 2014.
0 comments:
Post a Comment