HEBAT!!! Sharifah Khasif Dedahkan "Rahsia" Kejayaan.. Jom Kongsi!!!



MENGALUNKAN ayat-ayat suci al-Quran dengan suara lunak bukan perkara mudah kerana ia memerlukan usaha gigih untuk menjadikan seorang qari atau qariah terbaik, selain dipandu oleh ilmu tajwid yang mantap.

Tetapi kemerduan suara bukannya dapat dicapai oleh semua individu melainkan keistimewaan yang dikurniakan oleh ALLAH SWT.

Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman Al–Yahya merupakan salah seorang qariah Malaysia yang mempunyai kelunakan suara tersendiri ketika mengalun bacaan surah Al-Anbiya bermula ayat 51 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) suatu masa dulu.
Ramai yang terpesona dengan bacaan beliau dan menghayatinya penuh minat. Penulis sendiri kagum dengan wanita ini. Beliau bukan calang-calang wanita yang mampu menyampaikan bacaan al-Quran dengan baik, sebaliknya memiliki aura tersendiri yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

Peluang menemu bual beliau di Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur baru-baru ini amat bermakna buat diri ini. Berpakaian baju kurung hijau dan berhijab serta senyuman yang tak lekang dari bibir cukup cantik dan sempurna pada pandangan penulis.

Memulakan bicara, beliau yang ingin disapa sebagai Syarifah Khasif Fadzilah berkata, kejayaan yang diraih pada hari ini adalah hasil ketegasan seorang ayah bernama Syed Mohd Badiuzzaman Al Yahya.

Jika bukan kerana walid, mana mungkin dia boleh berada di tahap sekarang dan terus melakar kejayaan demi kejayaan dalam kehidupan.   

Cerita anak kelahiran Ipoh, Perak ini, arwah walid seorang yang tegas. Walaupun tegas dan garang, namun arwah tetap idola buatnya sampai ke hari ini.   

“Cara ketegasan, kasih sayang dan tanggungjawab mendidik anak-anak amat saya kagumi. Saya terfikir, kalau bukan atas ketegasan Allahyarham walid mendidik, sudah pasti saya tidak berada pada landasan ini. Kami tiga beradik terlalu takutkan walid sampaikan tak mampu untuk saya bertentangan mata dengan arwah satu ketika dulu,” katanya yang mempunyai seorang abang, Habib Syed Jamlush Shahariff Syed Mohd dan seorang adik,
Saiyyed Syakirrullah Syed Mohd.

Menurutnya, terbukti dengan tunjuk ajar dan bimbingan daripada walid, kejayaan beliau dalam tilawah antarabangsa yang lalu membuktikan bahawa bacaan al-Quran yang diajar Allahyarham  diiktiraf di mata dunia.

“Sehinggakan saya juga tidak ada apa lagi yang diinginkan melainkan berada terus di landasan ini demi menjadi orang yang berilmu dan memartabatkan al-Quran di mana jua berada,” ujarnya sambil tersenyum.

Dididik cinta Quran sejak kecil

Katanya, seawal usia tujuh tahun dia sudah melibatkan diri dalam bidang tilawah al-Quran.

“Tak terkira setiap kemenangan mahupun hadiah iringan yang diterima sejak kecil hinggalah sekarang. Bilik khas yang menempatkan semua anugerah itu pula sudah sarat dengan piala iringan. Semuanya adalah kejayaan yang diraih sepanjang penglibatan saya dalam bidang Quran dan tilawah.

“Namun, segalanya tinggal kenangan kerana usia kecil pasti tak datang kembali. Saya rasai semua nikmat itu dengan berkat al-Quran. Secara jujurnya, saya tidak pernah terfikir akan terus serius dalam bidang ini memandangkan keinginan saya kadangkala berbolak-balik.

“Jujur saya katakan, pernah juga baca al-Quran kerana terpaksa pada waktu itu, iyalah budak kecil manalah suka mengaji Quran, kita lebih suka bermain dan berseronok sesama rakan-rakan sebaya. Tapi apa yang saya boleh katakan di sini adalah, zaman kanak-kanak saya penuh dengan nostalgia sedih ...setiap hari hanya tangisan yang menemani. Usia empat tahun saya dipaksa, dilatih dan disuruh mengaji hampir tujuh kali sehari. Solat fardu sudah tentulah lima kali. Bukan setakat mengaji, tetapi diwajibkan mahir Quran, tajwib, fasohah dah taranum. Waktu seronok saya hanya bila tunggu malam dan tidur, itu pun dekat-dekat jam 11 malam,” katanya.

Beliau masih ingat, saat diumumkan sebagai Johan Malaysia Tilawah Al-Quran Sekolah-sekolah pada tahun 1994 dan hadiah iringannya adalah mengerjakan haji, walidnyalah antara orang yang paling gembira.

“Walid sangat gembira dan bangga. Dia menitiskan air mata. Begitu juga dengan saya dan saya anggap kejayaan itu adalah berkat pengorbanan walid selama ini,” katanya yang turut merangkul beberapa anugerah lain lagi.

Tambahnya, selepas ketiadaan walid, ibunya Zauyah Ahmad yang banyak memberi dorongan dalam pelbagai aspek.

“Cuma ibu jenis yang tak banyak cakap dan selalu bersetuju dengan apa saja perkara berbentuk kebaikan. Saya sangat menyayangi beliau kerana tanpanya hidup saya akan rasa serba kekurangan.

“Saya terlalu akrab dengan ibu sehinggakan saya selalu menitiskan air mata apabila teringat kisah silam waktu saya mula belajar al-Quran. Ibu sangat memahami. Walaupun dia bukan seorang qariah, tapi pengalaman ibu di rumah dan melihat segala latihan Quran saya membuatkan saya akan mendengar setiap komen-komen bacaan daripada ibu untuk meningkatkan prestasi bacaan setiap masa,” katanya mengimbas kenangan lalu.

Miliki suami penyayang

Pernah beliau beritahu akan mendirikan rumah tangga pada usia 30 tahun dan benarlah percakapan itu satu doa. Beliau berjumpa dengan suami dan mereka mendirikan rumah tangga genap usianya 30 tahun. Subhanallah.....

“Suami adalah anugerah dan hadiah terindah daripada ALLAH. Saya mengenali suami juga atas sebab al-Quran. Saya mengakui jodoh kami sangat kuat kerana saya juga tak menyangka akan bertemu dengan beliau, Datuk Sri Mohamad Hizal Othman, sekali gus mendirikan rumah tangga,” katanya.

Suaminya merupakan lulusan Bsc (hons) Quantity Surveyor, Glasgow Caledonian University, Scotland, UK dan merupakan ahli perniagaan dan CEO di Iktikadraya Sdn Bhd yang mempunyai beberapa cawangan di seluruh Malaysia dan luar negara.

“Memang bidang kami berbeza tetapi mempunyai minat yang sama, iaitu al-Quran. Bersifat cerdik, setia dan terdidik membuatkan saya rasa selesa apabila bersama dan tidak keterlaluan saya katakan di sini suami adalah segalanya bagi diri ini,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Menurut wanita ini lagi, dalam bab pemakanan, dia cukup menitikberatkan apa yang dimakan kerana kesihatan diri akan lahir daripada corak pemakanan yang diamalkan.

“Saya peminat tegar makanan Arab dan Italian food. Saya juga banyakkan sayur-sayuran dalam hidangan setiap hari. Jika lapar pada waktu malam, saya akan menjamah sedikit salad dan kacang badam. Air suam pula menjadi minuman utama saya.

“Saya juga akan ke gim lima kali seminggu (gim tersedia di rumah). Di gim, saya akan buat cardio setengah jam dan abs workout setengah jam, jadi paling lama satu jam saya akan habiskan waktu di gim. Dari sudut penjagaan suara, saya memang sentiasa menjaga bukan tunggu persembahan dan pertandingan tetapi setiap waktu. Saya akan elakkan makanan berminyak seperti bergoreng, minuman berais dan buah-buahan yang panas serta bergetah seperti durian, tembikai dan rambutan. Kalau perlu, saya akan ke spa untuk rehatkan badan selepas kesibukan kerja," katanya.

Album al-Quran

Rentetan minat mendalam terhadap al-Quran, Syarifah Khasif Fadzilah hasilkan produk i-Quran lengkap yang merangkumi 3 kitab, iaitu kitab 1, al-Quran 30 juzuk; kitab 2, iqra’ - muqaddam Baghdadi, Tarannum juz 30, tarannum 7 lagu asas al-Quran; dan kitab 3, Doa haji dan umrah, doa harian, selawat, berzanji, qasidah burdah, wirid dan tahlil.

“Selain itu, album al-Quran berlagu surah-surah pendek juga bakal berada di pasaran tak lama lagi atas permintaan ramai. InsyaAllah, tentang album qasidah burdah saya yang sulung, iaitu Al Husna sudah terjual melebihi 10,000 dalam tempoh tiga bulan. Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua peminat qasidah burdah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau juga sibuk dengan kelahiran album kedua yang bakal berada di pasaran tidak lama lagi. Album yang memuatkan semua bacaan Quran bertaranum, tujuh lagu kesemuanya dengan tujuh surah pendek sebagai asas termasuk satu surah panjang iaitu bacaan secara persembahan pada majlis-majlis rasmi.

Pelapis

Rahsia kejayaan ada pada setiap orang yang berkeinginan. Kalau dalam bidang al-Quran dan taranum, ia menuntut sepenuh perhatian, tenaga, masa dan pengorbanan yang seluruh kerana ia adalah bidang seni yang bukan mudah untuk diketengahkan dan mendapat perhatian kecuali di kalangan yang benar-benar memahami erti seni al-Quran dalam diri mereka.

“Apa yang boleh saya katakan adalah setiap kejayaan memerlukan usaha gigih dan jangan berputus asa. Letak matlamat dalam diri apa yang kita inginkan dalam hidup. InsyaAllah, kita pasti berjaya,” katanya tegas.

Harapan wanita ini cukup besar iaitu ingin melahirkan generasi al-Quran yang mampu menjadi pelapis kepada qari dan qariah antarabangsa yang ada pada hari ini, malah generasi al-Quran baharu itu adalah lebih baik daripada apa yang beliau ada dan semua qari qariah masyhur negara.

“Apa yang saya termampu buat adalah dengan melahirkan i-Quran yang lengkap untuk semua lapisan masyarakat. Saya tak sempat untuk melatih dan mengajar satu persatu dan di setiap tempat, tapi yakin dengan lahirnya i-Quran ini, sedikit sebanyak ia pasti dapat membantu membetulkan sifat huruf, makhraj huruf dan cara bacaan yang tepat kerana medium i-Quran ini adalah satu medium yang terbaik, kerana kita boleh dengar, ulang dan rekod semula bacaan kita ...insyaAllah. Semoga diberkati ALLAH dan terima kasih kerana sentiasa mendoakan saya,” akhiri Syarifah Khasif Fadzilah kepada WOW.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.