KUCHING, 13 FEBRUARI: Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud hari ini telah mengesahkan perletakkan jawatannya dan akan menyerahkan mandat kepada bekas adik iparnya iaitu Tan Sri Adenan Satem selepas 28 Februari ini.
Taib yang telah berada ditampuk kuasa selama 33 tahun juga difahamkan akan bertemu Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng untuk menyerahkan surat perletakan jawatan.
Taib Mahmud, 78 tahun meletakkan jawatan dan melantik bekas adik ipar beliau, Adenan Satem, yang berusia 70 tahun, bagi menggantikannya sebagai Ketua Menteri Sarawak.
Mengulas perletakan jawatan tersebut, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, “Taib Mahmud sudah dijangka akan dilantik sebagai TYT yang baru pada 28 Februari, dan perlu meletak jawatan sebagai ADUN Balingian.”
“Siapa nak bertaruh, tarikh pilihanraya kecil Balingian akan juga diadakan pada 23 Mar 2014?” ujarnya melalui laman sosial Facebook rasminya.
Profesor Sains Politik Monash Universiti Australia kampus Malaysia, James Chin berkata, pengunduran Taib itu tidak bermakna beliau benar-benar, malah menjadikannya lebih berkuasa apabila bergelar Gabenor.
“Ia adalah satu tanggapan yang salah untuk berfikir bahawa Taib benar-benar bersara. Apabila bergelar Gabenor tentunya beliau akan bertambah kuat.
“Perkara-perkara tertentu memerlukan tandatangannya, Ketua Menteri beliau lantik dan semua pajakan perlombongan juga ditandatangani olehnya,” katanya pada Bloomberg News.
Menyokong kenyataan itu, Penganalisa Politik Merdeka Center, Ibrahim Suffian menegaskan, Taib jelas tidak berundur tapi mengawal selia politik dari belakang tabir.
“Taib tidak berundur dari politik Sarawak tapi beliau akan memainkan peranan penting dibelakang tabir sebagai Gabenor baru termasuk pengendalian isu-isu ekonomi,” ujarnya.
Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Menteri, Taib telah diselubungi dengan pelbagai kegiatan salah laku.
Antara salah laku itu merangkumi pendedahan Bruno Manser Fund berhubung keluarganya menerima peratusan besar kontrak balak, kelapa sawit komersial, harta kekayaan yang tidak diketahui nilainya dan perusahaan besar diluar negara menggunakan wang negeri.
-Roketkini
0 comments:
Post a Comment