KUALA LUMPUR: Selangor tidak akan menjadi hari Jumaat dan Sabtu sebagai cuti hujung minggu di negeri itu, kata Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Baginda bertitah Selangor merupakan pusat perdagangan di seluruh negara dan antarabangsa walaupun sebelum Kemerdekaan dan beralih kepada cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu mungkin akan menjejaskan pelaburan dan urusan perniagaan di negeri itu.
"Terdapat pelbagai perniagaan antarabangsa di Selangor dan beta tidak merasakan pelabur akan menyukai pertukaran tersebut.
"Jika Jumaat adalah cuti umum, agak sukar untuk menyelaraskan dengan negara-negara lain, termasuk Singapura.
"Malah ia akan menyukarkan ahli perniagaan untuk menjalankan urus niaga mereka dan ia juga akan menjejaskan pasaran saham," katanya dalam temu bual bersama The Star.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mengumumkan cuti hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad bagi negeri itu sebelum ini ditukar ke hari Jumaat dan Sabtu berkuatkuasa 1 Januari depan.
Sultan Ibrahim bertitah pertukaran itu dilakukan untuk memudahkan umat Islam menunaikan solat Jumaat.
Kedah, Kelantan dan Terengganu merupakan negeri yang turut menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai cuti hujung minggu.
Sultan Sharafuddin berkata tiada sebarang rungutan daripada umat Islam di Selangor untuk menunaikan solat Jumaat.
"Setiap kali beta pergi ke masjid di Selangor pada hari Jumaat, ia sentiasa penuh. Majikan sentiasa menyediakan dan membenarkan pekerja mereka untuk menunaikan tuntutan agama.
"Tiada sebab untuk kita menukarnya (hujung minggu) ke hari Jumaat (dan Sabtu)," titah baginda.
Mengulas mengenai isu agama dan perkauman di negara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Sultan Sharafuddi menggesa rakyat dari pelbagai kaum dan agama untuk menghormati antara satu sama lain.
"Beta percaya, rakyat berlainan kaum akan bertolak-ansur dengan kaum lain, tetapi beberapa isu dibangkitkan oleh ahli politik. Kita harus ingat bahawa negara tidak akan maju tanpa semangat berpasukan dan bantuan kaum lain. Melayu, India dan Cina dan kaum lain harus belajar untuk bekerjasama kerana tiada mana-mana kaum akan maju dengan sendirinya," titah baginda.
Sultan Sharafuddin yang merupakan ketua agama Islam di negeri itu turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak menyentuh sensitiviti agama kaum lain.
"Sejak sekian lama, setiap kaum tidak pernah menyentuh sensitiviti agama dan budaya kaum lain. Kita tidak pernah mengkritik dan mempersoalkan apa yang dilakukan kaum lain," titah baginda.
Ketika diminta mengulas mengenai penggunaan kalimah Allah, baginda bertitah:"Beta berharap orang bukan Islam untuk tidak terlibat dengan segala berkaitan Islam."
Baginda turut menyuarakan kekesalan mengenai tindakan segelintir individu yang menggunakan masjid sebagai pentas ceramah politik di negeri itu.
"Sebab utama beta tidak membenarkan amalan itu kerana ia memecahkan ummah. Kita seharusnya pergi ke masjid untuk menunaikan ibadah," titah baginda.
Temu bual bersama Sultan Sharafuddin adalah bersempena 12 tahun baginda menaiki takhta sebagai Sultan dan sambutan Hari Keputeraan baginda yang ke-68 pada 11 Disember ini.
0 comments:
Post a Comment