Terkini!!! (Gambar2) Catatan Musibah Banjir: Pahang Paling Ramai Mangsa Banjir Yang Di Pindahkan..


Seramai 34,058 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Pahang.
  
Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontingen Pahang, sehingga pukul 10 malam ini, semua mangsa adalah dari tujuh daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Jerantut, Lipis dan Temerloh.
   
"Kuantan masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 27,587 orang yang ditempatkan di 48 pusat pemindahan," katanya kepada Bernama   hari ini.

    


Di Rompin, seramai 4,180 mangsa banjir di 14 pusat pemindahan, Pekan 3,091 mangsa di 16 pusat pemindahan, Maran, 49 mangsa di enam pusat, Jerantut 311 mangsa di 11 pusat, Lipis 21 mangsa di dua pusat dan Temerloh dengan tujuh mangsa di satu pusat pemindahan.
  
Sementara itu beberapa jalan utama masih ditutup akibat dinaiki air melebihi satu meter, antaranya KM 28 Jalan Sungai Lembing-Kuantan, KM 51 Jalan Kuantan-Kemaman, Batu 3 Jalan Kuantan-Gambang, KM 72 Jalan Kuantan-Segamat, KM 62 Jalan Kuantan-Rompin dan Jalan Utama Jerantut-Kuala Lipis.
    

Polis turut menasihati orang ramai supaya berjaga-jaga dan bersiap sedia berpindah berikutan masih berterusan, malam ini.

    
Di JOHOR BAHRU,
  jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Johor meningkat kepada 2,852 orang malam ini berbanding 2,027 orang di sebelah petang.
  
Mengikut maklumat portal bencana Majlis Keselamatan Negara yang dikemaskini pada pukul 9 malam, peningkatan berlaku di Kluang iaitu 774 orang berbanding 233 orang di sebelah petang.
  
Peningkatan juga berlaku di Segamat iaitu 491 berbanding 476 orang dan Pontian 476 (403 orang); selain pembukaan semula pusat pemindahan di Muar dengan jumlah mangsa yang sama iaitu 217 orang dan di Ledang dengan lapan mangsa.
  
Jumlah mangsa di Batu Pahat pula menurun daripada 503 orang kepada 474 orang manakala jumlah mangsa di Mersing dan Kota Tinggi masing-masing kekal pada 194 dan 218 orang.
  
Menurut lamanweb Jabatan Pengairan dan Saliran, kebanyakan tempat mengalami cuaca baik dengan tiada hujan atau menerima taburan hujan antara 1mm dan 30mm (hujan gerimis dan sederhana) sejak tengah malam semalam.
  
Bagaimanapun, Sungai Linggiu di Kota Tinggi mencatatkan taburan hujan sebanyak 83mm yang dikategorikan sebagai sangat lebat.
  
Empangan Juaseh di Segamat dan Ladang Nam Heng di Kota Tinggi masing-masing menerima hujan lebat sebanyak 48mm dan 36mm.

Di KOTA BHARU, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di lima jajahan di Kelantan malam ini naik mendadak menjadikan kesemuanya berjumlah
2,078 orang berbanding 1,284 orang di sebelah petang.
 



Menurut portal rasmi kerajaan negeri, lebih ramai penduduk yang tinggal di Rantau Panjang dipindahkan berikutan limpahan air Sungai Golok yang terus meningkat naik.
  
Jajahan Kuala Krai masih menempatkan mangsa banjir paling ramai iaitu 762 orang dan berada di enam buah pusat pemindahan diikuti Pasir Mas di Rantau Panjang iaitu 681 orang yang ditempatkan di lima pusat pemindahan.
  
Pada sebelah petang, hanya 21 orang yang direkodkan berpindah di Rantau Panjang sebelum bencana itu terus merebak ke beberapa buah kampung lain.
  
Di Machang kini 230 orang masih ditempatkan di lima buah pusat manakala di Pasir Puteh 210 orang berada di tiga buah pusat.
  
Satu lagi jajahan yang terjejas adalah di Tanah Merah yang menempatkan seramai 186 orang di lapan buah pusat.
  
Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang dilaporkan terus meningkat melebihi paras bahaya iaitu 10.39 meter melebihi bahaya 9 meter.
  
Sungai Lebir pada bacaannya di Tualang dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard juga masih berada pada melebihi bahaya iaitu di Tualang 35.48 meter (bahaya 35 meter) dan Jambatan Guillemard 16.84 meter (bahaya 16 meter).
  
Satu lagi bacaan di Sungai Kelantan iaitu di Tangga Krai bagaimanapun dilaporkan telah surut pada paras amaran berikutan tiada hujan sepanjang hari.
  
Menurut portal itu, tiada jalan utama yang ditutup kepada kenderaan kecuali beberapa jalan alternatif di Kuala Krai dan Pasir Mas yang ditutup kepada kenderaan ringan.
  
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini dan cuaca pada malam ini adalah baik.
  
Di KUALA TERENGGANU, jumlah mangsa banjir di menurun kepada 6,052 orang malam ini berbanding 7,163 orang pada siang hari ekoran cuaca cerah di kebanyakan tempat.

  
Berikutan perkembangan itu, lebih 1,000 orang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah air mulai surut di sebelah petang.
  
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara setakat pukul 9 malam ini, sejumlah 1,559 keluarga masih berada di 82 pusat pemindahan berbanding 91 buah pada petangnya di seluruh Terengganu.

  
Daripada jumlah itu, 13 buah di Hulu Terengganu, Dungun (29), Kemaman (31), Marang dan Setiu masing-masing (4) dan Setiu (1).
  
Kemaman mencatat mangsa banjir paling ramai pulang ke kediaman masing-masing iaitu 1,468 orang, diikuti Dungun (538), Hulu Terengganu (90) dan Marang (63).
  
Bagaimanapun daerah Setiu dan Besut kini mula dilanda banjir apabila hujan beralih arah ke utara Terengganu.
  
Sebanyak 99 mangsa dicatatkan di Setiu manakala di Besut pula enam orang daripada dua keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan Surau Kayu Kelat pukul 12 tengah hari apabila kawasan rumah mereka dinaiki air.

Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.