KUANTAN: Polis Pahang pada Selasa mengedarkan lakaran wajah seorang suspek kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Rafli Abd Malek, Ahad lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani, berkata lakaran itu membabitkan suspek yang memberi salam kepada mangsa sebelum rakannya melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa.
"Suspek dianggarkan berusia lingkungan 50 tahun dan saya percaya kes ini dapat diselesaikan tidak lama lagi," katanya pada sidang media di sini, Selasa.
Dalam kejadian 1.55 petang Ahad lalu, Ahmad Rafli, 49, maut selepas ditembak dengan tiga das tembakan oleh seorang daripada tiga suspek yang datang berjumpa mangsa di kediamannya di Indera Mahkota 2, Kuantan, Pahang.
Mangsa dipercayai ditembak dari jarak dekat oleh sekumpulan lelaki yang datang menaiki kereta Wira Aeroback berwarna putih.
Media melaporkan Ahmad Rafli ketika ini sedang mengendalikan beberapa kes besar termasuk memantau kegiatan pengikut fahaman Syiah serta satu ajaran sesat yang dikenali sebagai, 'Tuhan Harun'.
0 comments:
Post a Comment