Gempar!!! PRK N20 Sg. Limau: Berita Terbaru Dari SPR Berkaitan Isu Jualan Tidak Masuk Akal.. Jom Terjah!!




Suruhanjaya Piliihan Raya (SPR) menyifatkan jualan murah gula dan beras oleh Barisan Nasional (BN) semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau tidak mengandungi unsur rasuah kerana pengundi masih diberi kebebasan memilih calon pilihan mereka.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar), berkata tiada undang-undang pilihan raya yang berkaitan jualan murah dan kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) mesti diperoleh bagi mengadakan jualan tersebut.
“Tiada dalam undang-undang pilihan raya pasal jualan ini. Saya ingat perkara ini di bawah KPDNKK bagi memohon kebenaran mengadakan jualan murah atau jualan amal.

“Apa yang saya tahu ia tidak melanggar peraturan. Saya tidak dimaklumkan mengenai perkara ini. Kalau dibuat jualan kepada orang ramai, tidak menjadi masalah tetapi jika dipanggil pengundi membeli dengan harga murah kemudian menggesa pengundi untuk mengundi calon tertentu, itu tidak dibenarkan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

BN pada Ahad lalu mengadakan karnival jualan murah di Bukit Besar iaitu sebuah kawasan yang terletak kira-kira 19 kilometer dari Bandaraya Alor Setar dengan satu kilogram gula boleh dibeli pada harga RM1 berbanding harga pasaran RM2.84 dan sekampit beras 5 kilogram dijual RM5 berbanding harga pasaran sebanyak RM13.


Abdul Aziz berkata, sesebuah pilihan raya akan dikira sebagai rasuah apabila pengundi diminta untuk mengundi calon tertentu dan pengundi tersebut pula menunjukkan bukti mereka mengundi calon tersebut.

Katanya, mereka yang datang untuk membeli di karnival jualan murah itu tidak dapat dipastikan siapa yang mereka undi dan kemenangan PAS membuktikan jualan tersebut tidak berjaya mempengaruhi pengundi.

“Kita pun tak tahu siapa yang hadir ke jualan murah tersebut dan siapa yang mereka undi. Jika ada unsur rasuah maka saya sendiri akan berhubung dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Perkara ini serupa dengan memberi tambang balik kepada pengundi. Pengundi berhak memilih sendiri calon pilihan mereka. Saya tidak dengar ada yang berbicara tentang jualan murah. Bukit Besar majoriti pengundinya menyokong PAS. Majoriti besar dalam tiga kawasan di situ.

“Maknanya mereka tidak ‘termakan’ dengan perkara itu. Mereka beli sahaja namun undi tetap rahsia. Bukan ada orang yang tahu. Kita beri apa-apa pun, mereka ambil tapi tidak semestinya mereka ikut. Itu bukan rasuah," katanya.

Abdul Aziz berkata, pilihan raya yang berlangsung semalam berjalan lancar meskipun terdapat beberapa perkara yang merencatkan suasana pembuangan undi.

Katanya, sikap agresif dan tutur kata yang kurang sopan dilontarkan sesetengah penyokong menyebabkan suasana pilihan raya berlangsung dalam keadaan yang kurang menyenangkan.

“Secara keseluruhan, perjalanan pilihan raya semalam berlangsung dengan baik dan insiden kecil perkara biasa dalam pilihan raya. Kempen di sini memang dahsyat terutama perangai mereka. Penyokong parti tidak patut berkelakuan sedemikian terutama perkataan dan bahasa badan yang kurang enak dilontarkan.

“Saya tidak mahu sebut parti mana. Perbuatan yang tidak enak ini sehingga menyebabkan saya mengambil keputusan membatalkan lawatan ke tempat tertentu kerana saya lihat penyokong seperti sudah hilang fikiran. Anda boleh bayangkan suasananya. Namun perbuatan sedemikian tidak mencemarkan keputusan pilihan raya,” katanya.

Orang ramai berebut-rebut membeli gula, beras dan milo yang dijual murah di karnival anjuran BN di Bukit Besar, Sungai Limau.
Orang ramai berebut-rebut membeli gula, beras dan milo yang dijual murah di karnival anjuran BN di Bukit Besar, Sungai Limau.
Karnival jualan murah yang dianjurkan BN pada saat-saat akhir tempoh berkempen itu sedikit sebanyak mengundang kegusaran PAS untuk mempertahankan kerusi itu.

Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau semalam menyaksikan calon PAS Mohd Azam Abd Samat memperoleh sebanyak 12,069 undi manakala calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim pula memperoleh undi sebanyak 10,985 sekaligus menyaksikan PAS menang dengan majoriti sebanyak 1,084.

Sejumlah 23,249 pengundi atau 85.5% daripada keseluruhan pengundi keluar menjalankan tanggungjawab membuang undi semalam.

Semua 17 pusat pembuangan undi kerusi DUN Sungai Limau secara rasmi ditutup pada jam 5 petang semalam.

Pilihan raya kecil itu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut berikutan penyandangnya allahyarham, Tan Sri Azizan Razak yang kembali ke rahmatullah pada 26 September lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pula menyifatkan kejayaan BN mengurangkan majoriti undi PAS lebih daripada separuh dalam pilihan raya itu adalah satu kemenangan.

Beliau berkata, BN menerima keputusan pilihan raya itu, namun berjanji tidak akan menghentikan usaha mendekati sekolah pondok seperti yang terkandung dalam Aku Janji BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) demi meningkatkan syiar Islam.

Katanya, kerajaan negeri BN akan meneruskan dua projek yang diumumkan, iaitu jalan raya Guar Chempedak ke Pulau Bunting dan cadangan membina pelabuhan di pulau itu.

Walaupun PAS berjaya memenangi kerusi DUN Sungai Limau, majoriti undi yang diperoleh Mohd Azam merosot sebanyak 61 peratus berbanding majoriti diperoleh Azizan.

Mohd Azam memperoleh majoriti undi 1,084 berbanding 2,774 undi yang dimenangi Azizan.


Sementara itu, BN walaupun kalah dalam pilihan raya itu memperoleh anjakan undi sebanyak 4.4% berbanding dalam PRU13 Mei lalu. 

-tmi

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.