Gempar!!! Apa Sebenarnya Yang Terjadi Dengan Integriti Peguam Negara? Jom Terjah!!

Negara tidak sepatutnya memiliki penasihat undang-undang utama yang dipersoalkan integritinya, kata PAS.
Timbalan Pengerusi II Lujnah Undang-Undang PAS, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi (gambar), berkata walau apa pun muslihat Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, PAS berpendapat kerajaan perlu membuka fail siasatan secara menyeluruh terhadap Abdul Gani.
"Mereka perlu mengkaji semula semua laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk dakwaan lain yang pernah dibuat ke atas Abdul Gani," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media bahawa Dr Mahathir sedang menekan Abdul Gani dalam siri pertemuannya dengan beberapa pihak beberapa bulan lalu.
Malaysiakini melaporkan bekas Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim dan peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bertemu dengan Dr Mahathir dan berbincang kedudukan Abdul Gani.
Hadir sama adalah bekas setiausaha politik kepada Dr Mahathir, Matthias Chang dan bekas Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Ramli Yusoff yang memberi taklimat kepada Dr Mahathir tentang isu tersebut.
Perbincangan juga berkisar salah laku yang dilakukan Abdul Gani termasuk pemalsuan bukti yang membabitkan kes Ketua Pembangkang , Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
Ia bermula apabila Mat Zain menerima panggilan mengejut daripada Shafee yang mahu berjumpa dengannya di kediaman merangkap pejabat di Bukit Tunku pada 10 Ogos.
Pada hari berasingan, Dr Mahathir turut memberi tekanan kepada Abdul Gani dalam pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir mendakwa pejabat Peguam Negara melantik dua agen CIA bekerja di pejabatnya.
Zamri yang juga peguam PAS berkata, terbongkarnya kisah pertemuan tersebut, bermakna akan bermula sesi Peguam Negara menghadapi ‘perbicaraan media’ di atas segala dakwaan yang dilemparkan kepadanya.
Untuk rekod, parti pembangkang seperti PAS pernah membangkitkan pelbagai pertikaian terhadap tindakan dan perlakuan Abdul Gani dalam menjalankan tugasnya sebagai Peguam Negara.
Kuasa yang begitu luas yang diberikan oleh Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan terhadap Peguam Negara berkaitan dengan kuasa untuk memulakan pendakwaan jenayah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Abdul Gani untuk kepentingan tertentu.
Katanya, pemimpin Pakatan Rakyat adalah antara mangsa kepada amalan ‘pendakwaan terpilih’ yang diamalkan Abdul Gani.
"Sekiranya siasatan yang dijalankan nanti mendapati tuduhan terhadap Abdul Gani berasas dan melayakkan beliau disingkirkan dari jawatannya, satu tribunal perlu dibentuk berdasarkan peruntukan Perkara 145 (6) dan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.