Terkini!! Setiausaha PAS Kedah, Musoddak Haji Ahmad Disebut2 Bakal Calon PRK N20 Sungai Limau, Benarkah? Jom Terjah!!!


ALOR SETAR - Calon yang disebut-sebut antara tersenarai sebagai calon PRK Dun Sungai Limau sebelum dimuktamadkan Pas Pusat, Musoddak Ahmad tidak menaruh harapan tinggi dicalon semula selepas dua kali bertanding dan tewas.

Musoddak yang juga Setiausaha Pas Kedah sebelum ini bertanding di Dun Guar Chempedak pada PRU13, namun tewas kepada Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail. Sebelum itu, Musoddak bertanding di kerusi Dun Bayu (2004) yang kini disandang Datuk Azmi Che Hussein.

Tidak kisah dilabel ‘calon recycle’, Musoddak sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Pas Pusat, sama ada mahu terus memberi mandat untuk mewakili parti.

“Saya tidak kisah, saya serah pada Pas Pusat untuk putuskan. Kita tunggu sahaja pengumuman rasmi pada 23 Oktober ini,” katanya, ringkas.
Walaupun sudah dua kali berdepan dengan cabaran pilihan raya, katanya, tidak semestinya pengalaman itu menjadi faktor penentu dalam meletakkan calon yang sesuai.

“Saya tidak menaruh harapan tinggi. Sebelum ini saya lebih banyak bertumpu di kawasan Guar Chempedak walaupun menyandang jawatan Pengarah Pilihan Raya Pas kawasan Jerai,” katanya.

Mengulas beberapa blog tempatan yang mendakwa Pas kawasan itu mahukan wajah baru untuk diketengahkan sebagai calon dan menolak ‘calon recycle’, Musoddak tidak melatah dan menyifatkan mana-mana pihak bebas untuk bersuara.

“Saya tidak kisah dan tak ada masalah dengan itu (laporan blog). Tak perlu dilayan kerana tidak mendatangkan manfaat. Yang penting kelak pilih kepimpinan yang boleh buat kerja untuk pastikan kita mampu pertahan Sungai Limau,” katanya.

Musoddak bukanlah asing dalam kalangan ahli parti mahupun masyarakat setempat. Ini kerana sebahagian besar ahli keluarganya aktif dalam politik dan dikenali.

Musoddak, anak ke-11 dari 12 beradik merupakan anak kepada Ahmad Abdul Rahman iaitu bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah (1947- 1957). Enam ahli keluarganya aktif dalam politik termasuk, abang keempat, Mohd Nakhaie yang juga bekas Naib Presiden Pas yang keluar parti dan menyertai Umno.

Calon PRU13 di Parlimen Baling, Brig Jen (B) Datuk Najmi; Allahyarham Suhaimi yang juga bekas Adun Kupang; Zawawi bekas Ahli Parlimen Padang Terap (1999) serta kakak, Fauziah juga merupakan bekas Ketua Muslimat Baling.

PRK Dun Sungai Limau diadakan selepas penyandangnya, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak meninggal dunia.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.